Showing posts with label Ceritera-Cetera.. Show all posts
Showing posts with label Ceritera-Cetera.. Show all posts

Monday, November 1, 2010

Hujan yang Terakhir.





Hujan

Petang tadi hujan turun dengan renyai-renyai. Burung-burung yang berterbangan meninggalkan permainan di atas angin. Awan yang telah penuh dengan air tidak dapat lagi menahan rasa. Muntahan mutiara-mutiara segar lalu deras turun ke muka bumi. Penuh dengan rasa keindahan. Aku masih lagi terlena dek keletihan. entah keletihan apa yang aku tanggungkan. Hendak kata lakukan kerja berat tidak sama sekali. Mungkin terlelap kerana cuaca yang sejuk dan mendung. Umpama malam. Matahari tidak nampak mukanya. Air yang turun menghentam bumi mengeluarkan bunyi. Aku masih pekak dan bisu membiarkan hujan itu turun.


Cuti

Perkataan inilah yang membuatkan pelajar-pelajar merasai keseronokan. Tidak perlu lagi ke sekolah mahupun kolej ataupun universiti buat semntara waktu. Perkataan inilah yang membuatkan aku merasai ketakutan. Ketakutan untuk pulang bercuti. Bukan bermakna aku tidak setuju dengan cuti,aku juga seperti pelajar-pelajar yang lain. Tetapi perkataan 'cuti' inilah yang merasukkan jiwa ini agar menjadi hina. Jiwa yang kotor memberontak mahukan kemaksiatan. Mahukan kenikmatan. Cuti sebenarnya tidak dapat mendidik hatiku ini agar terus istiqomah. Aku akan lalai dalam mengharungi hari-hari yang tiada pengisian. Batu yang diam akan dipenuhi dengan lumut. Sehebat mana pun kita jikalau hawa nafsu dan syaitan menguasai diri. Tiada yang dapat membentenginya melainkan iman yang kukuh. Sesungguhnya cutilah yang melumpuhkan jati diri remaja. Kebanyakkan remaja mengisi masa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Kiranya, aku akan bertambah setuju jikalau cuti ini penuh dengan pengisian yang santai. Cuti masih lagi menghantui pemikiran aku.


Matahari

Hujan kian reda. Awan berarak meninggalkan tempat yang telah ia sirami. Pergi setelah melakukan tugasannya. 'Dia' tidak pernah melanggar perintah dan suruhan. Patuh dan taat. Wajah matahari yang penuh dengan cahaya itu kembali menjelma. Menerangi setiap ruang lingkup kehidupan ini. Manusia keluar melakukan tugas masing-masing seperti biasa. Sudah tidak ada alasan lagi. Burung berterbangan riang bermain setelah lama berdiam di sarang. Perut yang kosong itu memberontak kelaparan. Anak-anak menangis kerana sudah lama mereka berpuasa. Kehadiran si cahaya itu memberi khabar gembira kepada makhluk-makhlukNya. Kehadirannya itu memberi erti bahawa itulah hujan yang terakhir menyirami kehidupan. Dan pada suatu saat nanti, manusia akan menanti hujan tiba dan mahukan matahari pergi pula.


Kota Tunjong
24 Zulkaedah 1431 H.
01/11/2010.
09:18 pm.

Wednesday, April 7, 2010

Menyelamatkan Bahasa.


Abul Aswad Ad-Dualy adalah seorang sahabat RAsulullah Saw dan sangat dekat dengan Saidina Ali Ra. Tampaknya ia sengaja belajar, menimba ilmu daripada Saidina Ali Ra.

Suatu malam,dalam perjalanannya,Saidina Ali Ra dan Abul Aswad Ad-Dualy melihat seorang kanak-kanak sednag bermain di depan rumahnya. Tiba-tiba sambil memandang langit, anak itu berteriak: "Ma akhsanus-samaa'u yaa abiy.*"

"Nujuu-muhaa*," jawab sang ayah dari dalam. Tetapi, meskipun sudah dijawab, sang anak kembali mengulangi pertanyaannya.

"Ma akhsanus-samaa'u yaa abiy?"


Lagi-lagi ayahnya menjawab: "Nujuu-muhaa..".Tetapi si anak kembali bertanya dan si ayah kembali mengulangi jawapan yang sama.

Melihat peristiwa itu, Saidina Ali Ra berkata kepada sahabatnya:"Sungguh, bahasa akan rosak kalau begini halnya..." Kemudian beliau menghampiri anak itu seraya berkata: "Apa sebenarnya yang ingin engkau katakan, hai anakku?"

"Aku ingin mengatakan kepada ayahku betapa indahnya langit ini.."

"Engkau ingin menyatakan kekagumanmu?"

"Benar."

"Kalau engkau mengkagumi sesuatu,katakanlah dengan membuka mulutmu, agar orang tidak salh menjawab."

"Apa yang mesti aku katakan?"

"Ma Akhsanus samaa'a yaa abiy.."*

Sang ayah pun kemudian muncul dan mengerti permasalahannya.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali Ra berkata kepada Abul Aswad: "Tata bahasa Arab mesti disusun!"

Dan benarlah, Saidina Ali Ra kemudian menyusun, dibantu oleh Abul Aswad 'Ad-Dualy. Sahabat ini pun kemudian dikenal sebagai orang yang sangat memahami selok-belok tata bahasa Arab.




*
"Ma akhsanus-samaa'u yaa abiy." - Apa yang indah di langit ini,wahai ayah?

"Nujuu-muhaa.." - Bintang-bintangnya.

"Ma Akhsanus samaa'a yaa abiy.." - Betapa,indahnya langit ini,wahai ayah. (Dengan mengubah samaa'u menjadi samaa'a).




~Taipan Kecepatan Kota Tunjong~

Saturday, March 27, 2010

Kenyataan Hidup diSebalik Permainan Ini.

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun,mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid- muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh- musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend,hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gayahidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid- murid,begitulah ummat Islam dan musuh - musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang- terang. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan- hiasan dinding akan dikeluarkan dulu,kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan- lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita...

Email : mohd naim mohd zain
-Cina Islam.

Saturday, January 9, 2010

Hasutan dan Kekuatan.


Syeikh Abdul Kadir al-Jilani terkenal sebagai ulma sufi dan wali Allah sangat hebat iman dan tauhidnya kepada Allah Swt. Antara bukti kehebatan itu ialah Syeikh Abdul Kadir berdepan dengan tipu daya iblis. Begini ceritanya..

Suatu ketika, aku nampak satu cahaya terang-benderang memenuhi seluruh langit. Kemudian satu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan ia berkata: "Wahai Abdul Kadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu."

Aku terus menjawab: "Berambuslah wahai syaitan!". Sebaik sahaja mengucapkan kata-kata itu, cahaya di langit itu bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia tadi berdesir menjadi angin.

Aku mendengar lagi suara berseru: "Wahai Abdul Kadir, aku telah menyesatkan tujuh puluh orang ahli sufi dengan cara ini. Tetapi ALlah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu." Rupanya syaitan itu masih lagi mahu menipu aku, lalu aku pun menjawab,"Tidak. Ini adalah rahmat Allah Taala."
Sampai begitu sekali hasutan syaitan. Kadang-kadang sampai kita tidak nampak. Hasutan hanya boleh dihapus dengan kekuatan. Moga penceritaan ini ada ibrahnya.


kakinote: gambar-langit itu menjadi gelap.

Sunday, January 3, 2010

Sunyi.


Kesunyian itu telah pergi. Kini datang kembali suara-suara riang.

Berdasarkan kalendar tahun 2010 Masehi,bermulanya sekolah untuk sesi kali ini pada 4 Januari 2010 bersamaan dengan hari Isnin. Setelah sekian lama bercuti, "mereka" kembali ke perkampungan. Ada yang berasa seronok. Ada yang berasa 'terpaksa' dan ada juga yang berasa seperti tidak mahu bersekolah lagi. Tetapi apa boleh dilakukan,rela mahupun paksa,kehidupan di perkampungan ini harus diteruskan. Bukan sekolah memerlukan kita tetapi kita memerlukan sekolah ini. Siapa rasa dirinya sudah serba lengkap sila angkat tangan dan boleh pulang ke rumah. Pelajar baru terasa teruja. Pelajar lama terasa terpenjara. Tidak percaya cuba tanya.

Keadaaan di perkampungan ini sudah tidak sunyi lagi. Apabila tiba sahaja musim persekolahan terasa bercahaya. Tapi apabila tiba sahaja musim "percutian" terasa malap.

Sunyi. Satu perkataan yang diteguhkan dengan binaan lima huruf s-u-n-y-i. Jika kita bertanya kepada makcik yang berada di rumah orang tua-tua:

"Adakah makcik berasa sunyi berada disini?"

Mungkin makcik itu boleh memberikan satu tamparan yang kuat kepada kita.

Pang!

Pasti pedih dan terasa kebodohan pada diri kita.

Jangan pernah kita cuba bertanya soal sunyi itu lagi. Walaupun pada zahirnya kita nampak rumah orang tua-tua itu penuh dengan orang tua-tua. Penuh dengan kawan-kawan yang sebaya yang boleh menceriakan makcik itu. Tetapi dalam hatinya penuh dengan kesunyian. Makanan yang disediakan kadang-kadang dibiarkan begitu.


Suatu masa dahulu diwaktu pagi...

"Bangun Mad solat Subuh. Lepas tu siap-siap ke sekolah. Dah lewat ni." panggil ibu.

Mad pun segera bangun tanpa mengeliat. Menuju ke bilik air yang telah di sediakan air panas. Tiap-tiap pagi sebelum ke sekolah, Mad pasti mandi dengan air panas.

Setelah selesai mandi dan solat Subuh, Mad masih berada di atas katil. Duduk bersandar. Matanya masih layu. Kepalanya terangguk-angguk. dia masih mengantuk!

"Mad,cepat sarapan! dah lewat sangat ni," teriak ibunya.

Mad tersentak. Dia bingkas bangun daripada katilnya. Melihat cermin dan memperkemaskan rambutnya dan terus menuju ke meja makan. Roti, telur dan susu telah tersedia di atas meja. Mad lantas membaca doa dan memakan roti berjemkan kaya dengan gelojohnya.

Sebelum bergerak pergi ke sekolah, dia pasti bersalam dengan ibunya. Lalu ibunya akan berkata,"Mad, belajar rajin-rajin,nanti dah besar boleh jadi doktor." Mad diam dan terus melangkah pergi ke sekolahnya.

Sudah 12 tahun Mad meninggalkan alam persekolahan. Impiannya kini sudah tercapai. Dia kini sudah bergelar seorang pakar. Dr. Mad,itulah gelaran yang dipanggil oleh sesiapa saja terutama pesakit-pesakitnya. Semakin hari dia semakin sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang doktor. Kadang-kadang dia tidak sempat menghubungi ibunya di rumah. Terlalu sibuk membantu orang yang memerlukan bantuan. Tetapi dia terlupa bahawa ibunya di rumah sanagt memerlukannya. Memerlukan kasih sayang seorang anak. Ibunya semakin hari semakin tua dan sakit. Mad tidak pernah menghubunginya lagi. Tidak pernah tahu akan makan minumnya. Sakit lelahnya. Mahu saja Mad menghantar ibunya itu ke rumah orang tua-tua. Tidak mampu di jaga dek kesibukan kerja.

Pada petang itu, Mad pulang ke kampung dengan keadaan yang terpaksa. Dia mahu menghantar ibunya ke rumah orang tua-tua.

"Mad pulang ni pun bukan apa ibu, Mad kesian tengok ibu keseorangan. Mad ingat nak hantar ibu ke rumah orang tua-tua. Banyak sikit kawan-kawan yang sebaya dengan ibu di sana nanti."

Perkataan yang tersembur daripada mulut Mad itu menyentap seluruh tubuh badan tua itu. Ibunya diam membisu tanpa berkata apa-apa. Dia "patuh" pada arahan anaknya yang dikasihi itu. Padahal, dalam sudut jiwanya itu,siapa yang tahu. Anak yang dijaganya itu dengan penuh kasih sayang memperlakukannya sebegini. Hatinya seperti tetusuk jarum-jarum panas.

Sunyi. Satu perkataan yang diteguhkan dengan binaan lima huruf s-u-n-y-i. Makcik itu masih sunyi di sini. Mengenang nasib diri. Menunggu kepulangan diri kepada Ilahi sambil berdoa semoga insan yang bernama anak itu cepat sedarkan diri. Itu maksud s-u-n-y-i dalam diri makcik itu. Bagi kita, apakah dimaksudkan dengan s-u-n-y-i?

Semoga Mad cepat sedarkan diri. Kembalilah kepangkuan Ilahi. Pohon ampunlah kepada ibumu. Pohon ampunlah kepada yang Maha Kuasa. Mad, masih lagi ada masa untukmu sedarkan diri. Jangan biarkannya berlalu pergi. Jangan biarkan ibumu terasa sunyi lagi. Ibumu tidak mahu kekayaanmu. Ibumu hanya mahu kasih sayang daripadamu Mad. . Jika dahulu ibumu menyediakan segala-galanya untukmu.Air panas,roti,telur dan susu dan yang paling utama kasih sayang. Kini masanya untukmu Mad menyediakan kembali untuknya. Jangan sampai masa ibumu sudah tiada baru engkau menangis berteriakan. Tiada guna lagi Mad.Jadilah anak yang soleh Mad. Aku tahu engkau boleh Mad. Pecahkan kesunyian itu segera!


kakinote: Koala itu walaupun dalam senyuman dia juga terasa sunyi.

p/s: Hanya rekaan semata-mata. Moga kita dapat manfaatnya.

~Taipan Kota Tunjong~

Saturday, November 14, 2009

Abu Kematian Lembunya.

Abu sentiasa mengadu kepada orang ramai berkenaan buruknya layanan isterinya terhadapnya, kerana isterinya sentiasa bertengkar tanpa sebab sehinggalah Abu merasa bosan dengannya.

Pada suatu hari, orang ramai mengetahui bahawa isteri Abu telah mati, lalu mereka berkata:"Sesungguhnya telah selesai masalah Abu dengan isterinya. Kasihan kepada isterinya kerana Abu telah membunuhnya, tidak dapat tidak itulah balasan yang setimpal bagi isterinya,"

Abu keluar menemui orang ramai dan memberitahu kepada mereka bahawa setiap kematian itu adalah Qadha dan Qadar daripada Allah Swt. Dan sesungguhnya dia tidak membunuh isterinya dan adalah ia berlaku dengan kehendak Allah.

Berkata mereka itu kepada Abu:"Tidak dapat tidak kami perlu mensahihkan perkara ini."

Berkata Abu:"Dia adalah perempuan yang buruk perangainya ketika hidupnya dan juga ketika matinya."

Ketika orang ramai mengetahui perkara yang sebenar tentang bersihnya Abu daripada melakukan pebunuhan ke atas isterinya, maka mereka pun berkumpul dan membuat keputusan dalam kalangan mereka untuk pergi ke rumah Abu bagi meminta maaf kepadanya atas tuduhan yang zalim itu.

Tatkala mereka menemui Abu, mereka pun berkata kepadanya:"Sesungguhnya kami datang menemui kamu,wahai Abu adalah untuk meminta maaf dan menunaikan kewajipan kami untuk mengucapkan takziah di atas kematian isterimu."

Abu pun menyambut mereka dengan berkata:"Ah! Jikalau kamu semua ketahui kadar kesedihanku di atas kematian isteriku tentulah kamu semua belas kasihan terhadapku."

Berkata mereka itu:"Sungguh aneh, dahulu kamu sentiasa mengadu berkenaan sikap buruknya itu."

Berkata Abu:"Pada asasnya memanglah aku telah ditimpa masalah bersamanya tetapi aku sedih di atas kematiannya kerana perkongsian hidup itu lebih baik daripada hidup seorang diri."

Berkata salah seorang daripada mereka:"Wahai Abu! Janganlah bersedih dan jangan berfikir kamu akan hidup keseorangan. Sesungguhnya perempuan itu ramai. Cukuplah setakat kamu tunjukkan dengan jari kamu kepada salah seorang daripada perempuan-perempuan yang kami akan menemui keluarganya untuk dikahwinkan dengan kamu."

Abu pun menginkarinya:"Apa yang kamu semua katakan ini? Sesungguhnya aku adalah seorang suami yang sempurna bagi isteriku."

Berkata salah seorang daripada mereka:"Wahai Abu! Aku akan kahwinkan engkau dengan anak perempuanku!"

Berkata Abu:"Saya akan fikirkan."

Berkata yang lain pula:"Abu kelihatan ingin berkahwin lagi dan saudara perempuanku mungkin lebih baik untuk dijadikan isterinya."

Abu ketawa sambil berkata:"Wahai sabahat-sahabatku! Sesungguhnya aku sebenarnya tidak bersedih dan aku tidak berasa ingin berkahwin lagi."

Mereka pun bangun ingin pulang sambil berkata:"Walau apa hal pun, sesungguhnya kami datang adalah untuk mengurangkan kesedihanmu."

Abu pun mengucapkan terima kasih kepada mereka dan mengucapkan selamat pulang kepada mereka. Maka berlalulah hari-hari berikutnya sehinggalah berlakunya kematian lembu Abu.

Abu berasa terlalu sedih di atas kematian lembunya. Dia pun menangis sehingga menyebabkan dia ditimpa sakit. Lalu prang ramai pun menziarahinya untuk menenangkannya.

Abu pun berkata kepada mereka:"Setiap kali aku teringat lembuku dan masa yang telah dihabiskan bersamanya di dalam setiap perkara, maka bertambahlah kesedihanku dan tangisanku kerana aku tidak dapat berjumpa dengannyabuat kali yang kedua. Betapa berfaedahnya dan berhargnya ia bagiku."

Berkata mereka kepada Abu dengan perasaan takjub:"Apa yang terjadi kepadamu wahai Abu? Sesungguhnya kamu tidak bersedih di atas kematian isterimu sebagaimana kamu bersedih di atas kematian lembumu dan kamu tidak menangis ke atas kematian isterimu sebagaimana kamu menangis ke atas kematian lembumu. Maka adakah lembu kamu itu lebih baik daripada isterimu?"

Berkata Abu:"Sesungguhnya ketika isteriku mati,kamu telah datang menenangkanku dan setiap daripada kamu mempelawa kepadaku perempuan-perempuan untuk jadikan isteriku."

Berkata mereka pula:"Dan kami masih lagi bersedia setakat yang kami mampu untuk membantu kamu."

Berkata Abu dengar perasaan marah:"Tatkala lembu aku mati,tidak ada seorang daripada kamu yang berkata kepadaku: Bahawa aku kan bawa kepada kamu seekor lembu yang lain atau aku mempunyai seekor lembu yang akan diberikan kepada kamu. Apakah maknanya persahabatan ini?"


~Taipan Kecepatan Kota Tunjong~

Friday, November 6, 2009

Baru Cetek Ilmu Dah Panggung.

Sebuah kisah dari Timur Tengah..



Seorang murid Al-Junaid menyangka dirinya telah mencapai darjat kesempurnaan."Oleh kerana itu lebih baik aku menyendiri."Katanya.

Maka dia pun mengasingkan dirinya di suatu tempat dan menetap di situ beberapa lama. Pada setiap malam, beberapa orang lelaki datang membawa seekor unta kepadanya lalu berkata:"Kami akan menghantarmu ke syurga." Maka dia terus naik ke atas belakang unta itu dan mereka pun berangkat menuju ke suatu tempat yang indah dan nyaman, penuh dengan manusia-manusia yang gagah dan tampan. Di mana terdapat banyak makanan-makanan yang lazat dan anak-anak sungai jernih airnya. Dia tinggal di tempat itu sehingga fajar, kemudian dia akna tertidur dan ketika terjaga ternyata dia berada di biliknya semula. Kerana dari pengalaman itu, dia semakin bertambah menjadi bangga dan angkuh.

"Setiap malam,aku dihantarkan ke syurga,"katanya dengan bangga. Kata-katanya itu didengari oleh Al-Junaid. Al-Junaid bertanya, apakah yang telah dialaminya dan murid itu menceritakan seluruh pengalaman di malam hari kepada Al-Junaid.

"Bila tiba waktu malam nanti iaitu apabila engkau akan dihantarkan ke sana, ucapkanlah: Tiada kekuasaan dan kekuatan kecuali pada Allah yang Maha Mulia dan Maha Besar,"kata Al-Junaid kepada muridnya itu. Bila tiba waktu malam, seperti biasa murid itu dihantar ke tempat tersebut. Di dalam perjalanan, dia masih ragu terhadap perkataan Al-Junaid. Ketika sampai di tempat iu, sebagai percubaan dia cuba mengucapkannya:"Tiada kekuasaan dan kekuatan.....(sehingga habisnya)."

Pada saat itu juga orang-orang yang berada di tempat itu meraung-raung dan bertempiaran melarikan diri. Kemudian terlihatlah oleh anak murid Al-Junaid itu bahawa tempat itu hanyalah tempat pembuangan sampah sedang di hadapannya berselerakan tulang-tulang binatang. Setelah menyedari kekeliruannya itu, segera anak murik Al-Junaid bertaubat dan kembali bergabung semula dengan urid-murid Al-Junaid yang lain. Kini barulah dia tahu bahawa menyendiri bagi seorang murid adalah bagaikan meneguk racun yang bakal membunuhnya.

~Taipan Kecepatan Kota Tunjong~

Monday, August 10, 2009

Nasihat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga kita sentiasa dalam keadaan bersyukur kepada Allah.

Bersyukur atas dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam.

Setelah sekian lama saya menyepi, saya ingin memberi sedikit 'nasihat'.

Hanya penceritaan benar sahaja sebenarnya.

Dengarlah kisah ini....


Seseorang datang kepada Rasulullah Saw. seraya berkata: "Wahai Rasulullah, berilah aku nasihat."'Rasulullah Saw.bertanya: "Apakah engkau akan mengamalkan jika aku berikan nasihat?"

"Ya wahai Rasulullah."

Tapi kembali Rasulullah Saw. bertanya: "Apakah engkau akan mengamalkan jika aku berikan nasihat?"

"Ya wahai Rasulullah."

Sekali lagi Rasulullah Saw. bertanya: "Apakah engkau akan mengamalkan jika aku berikan nasihat?"

"Ya wahai Rasulullah."

Setelah Rasulullah Saw. berasa tenang dan yakin bahawa orang itu akan mengamalkan nasihatnya, beliau memusatkan perhatian terhadap apa yang hendak beliau nasihatkan, kemudian bersabda:

"Apabila engkau menginginkan sesuatu, renungkanlah. Jika ia baik, lakukanlah, jika buruk tinggalkanlah."

Wednesday, May 13, 2009

Peristiwa Hitam 13 Mei.






Peristiwa pada 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam bagi rakyat Malaysia.

Perpaduan terjejas.

Peristiwa ini berkait rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969.

Budi bicara tidak lagi digunakan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

Malahan,kata-kata kesat dan caci-maki digunakan untuk kepuasan diri dan parti.

Menambahkan lagi serangan mental dalam masyarakat yang berlainan bangsa.

Terasa dianak tirikan.

Nah,akhirnya terjadinya pembunuhan dan kucar-kacir walaupun setelah negara ini mencapai kemerdekaan atau makna sebenarnya bebas daripada penjajah.

Rusuhan kaum yang berlaku ini merupakan puncak masalah perpaduan. Jangan lah kita terlalu lama memandang ke belakang.

Jadikan lah peristiwa ini sebagai pengajaran yang sangat berguna untuk kita rakyat Malaysia sentiasa berganding bahu tidak kira agama,bangsa,keturunan mahupun latar belakang.

Peristiwa 13 Mei ini sudah lama pergi meninggalkan tapak sejarahnya selama 40 tahun yang lalu.

Kini,rakyat Malaysia sudah saling memahami walaupun ada segelintir kelompok yang masih dalam keadaan yang lama.

Lupakan yang lalu, mulakan hidup baru.

InsyaAllah.

Allah A.W. akan membantu dan menolong menjaga perpaduan ini jika kita beriman dan bertakwa dengan sebenar-benarnya.

Tuesday, May 5, 2009

Terluntur Dek Zaman.





Dunia kini sudah ketandusan budi pekerti. Terhakis dek zaman modenisasi yang dipelopori Barat.

Ilmu yang ada tidak digunakan sebaiknya.

Walaupun punya ijazah tetapi solat mungkin hanya sebulan sekali.Itu pun belum tentu lagi.

Walaupun telah diiktiraf seorang professor,sampah dibuang di merata tempat.

Manusia-mempelajari ilmu hanya untuk mencari kerja.

Kerja-untuk mencari duit dan harta serta terus mahu hidup di dunia ini selama-lamanya.(Waima,mereka tahu akan kembali juga jasad mereka menjadi debu)

Nampak di situ,tiada bahagikan ilmu untuk kecemerlangan ukhrawi.

Tiada keseimbangan.

Nah,dunia menjadi tempat melepas segala-galanya. Mahu bebas kononnya.

Fikir.

Mahu susah di sini ataupun susah di sana?

Mahu senang di sini ataupun senang di sana?

Manusia itu selalu lupa(kadang-kadang hanya pura-pura lupa) walaupun mereka tahu ada batas dan had dalam kehidupan ini.

Islam telah meletakkan segala-galanya.

Teori sudah banyak dipelajari.

Cuma menunggu untuk mempraktikkan sahaja.

Jika tidak di sini, di mana lagi?

Friday, February 6, 2009

Kisah Seorang Pencari Kerja.

Dulu-dulu tapi bukanlah dulu-dulu sangat tetapi baru-baru ini,aku berada di Pulau Mutiara selama 9 hari.Ku meniti perjalanan menuju ke Hospital Pulau Pinang. Menaiki bas kemudian feri kemudian bas kemudian berjalan kaki. Tujuan hanya satu dan bukannya niat untuk pergi melancong mahupun bersiar-siar menikmati keindahan dunia di pulau ini. Aku dan sahabat-sahabatku, Dek Wan dan Zulkarnaian berada di hospital tersebut selama 6 hari dan 3 hari yang berikutnya di rumah Fathi di Guar Perahu. Sahabatku ini hanya cedera ringan sahaja. Malang yang menimpa ayahnya, Cikgu Azmi apabila peha kanannya patah dan kepalanya mengalamai pendarahan otak yang begitu kritikal. Pembedahan terpaksa dijalankan sebanyak 2 kali di tempat yang berbeza dan di hari yang berlainan juga.Kesedihan jelas terpampang pada muka ahli keluarga sahabatku itu. Aku juga sebenarnya dapat merasai.

Kini,kesihatan ayahnya sudah semakin stabil dan menampakkan pergerakan pada tangan dan kaki kiri ayahnya. Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan dan peluang kepadanya untuk bernafas di bumi ciptaan-Nya ini. Telah banyak pengalaman dan pengajaran yang telah ku dapat selama aku berada di sana. Kendatipun, di sini aku mahu menceritakan sedikit mengenai seorang pencari kerja yang sudah lama berada di hospital tersebut.

"Pengemis jalanan,peganggu dan pengacau hidup orang lain". Mungkin itu kata-kata yang terdetik dalam hati orang awam yang terserempak dengan manusia ini yang tangan kirinya sudah hilang hingga ke siku. Bidi(sejenis rokok murah buatan India) sentiasa tersemat di mulutnya. Menambahkan lagi persepsi negatif orang lain terhadap dirinya. Senyumannya menampakkan giginya yang sudah sedikit kehitaman. Rambutnya kusut-masai. Dia hanya memakai seluar tiga suku. Mneghisap bidi. Duduk di atas kerusi di bawah pondok berhadapan dengan tempat bermain kanak-kanak. Sahabatku telah siap membeli nasi bungkus untuk kami mengisi perut yang telah berbunyi seusai solat Subuh.

Kami mencari dan menjejak tempat yang boleh untuk kami makan bersama-sama. Dalam penjejakan dan pencarian, kami ternampak seorang lelaki yang berbangsa India yang umurya dalam pertengahan. Duduk di pondok sambil menghisap bidi. Nampak seperti nyaman sahaja asapnya. Kami terpanggil untuk pergi ke pondok itu kerana tempat yang lin telah dipenuhi manusia lain. Aku cuba untuk menghalau lelaki tersebut ke tempat yang lain dengan cara yang lembut. Tetapi dia tetap tidak berganjak dan mendiamkan diri. Memandangkan kehadiran kami tidak diendahkan, kami terpaksa juga duduk di pondok itu kendatipun dengan keadaan berhimpit-himpit.

Terdetik dalam nurani aku,"Lelaki ini mesti tak makan lagi". Lalu aku pun menolak dua bungkus nasi lemak ke arah lelaki India ini. Dari saat dan detik itulah aku dan sahbat-sahabatku yang lain memulakan perbicaraan. Kami sahaja memulakan dengan menanyakan tentang agama Hindu. Tuhannya berapa? Sembahyangya bila? Bila mati seorang penganut Hindu, urusan mayatnya macam mana? Semua pertanyaan ini mudah bagi lelaki ini menjawabnya. Sebenarnya. lelaki yang dianggap pengemis ini pandai bermadah. Petah bercakap. Umpama pemotivasi yang profesional. Dia menjawab satu per satu. Sehingga sampai satu tahap, kami menekankan bahawa Tuhan semua makhluk di muka bumi ini hanyalah satu dan tiada Tuhan selain-Nya. Lelaki ini juga mengakui kebenaran tersebut. Dia mengakui Tuhan itu satu. Tuhan itu Maha Esa.

Maka bermulalah alkisah ini dengan penceritaan yang sangat menarik. Dulu, dia pernah mengikuti program di bawah anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM). Dia tahu membaca surah Al-Fatihah. Dia tahu untuk mengucap syahadah. Sebenarnya dia seorang mualaf(saudara baru)! Dia memilih Abdul Rasyid sebagai nama Islamnya(muka pun dekat serupa dengan Rasyid sahabatku). Sangat pandai dia memilih nama itu.

'Kita merancang, Allah yang menentukan'. Begitulah yang terjadi kepada Abdul Rasyid. Dia tidak sempat untuk menghabiskan program yang dianjurkan PERKIM selama 3 bulan di Kelantan.

"Aku pernah ikut itu program PERKIM kat Kelantan. Tapi hanya sampai 2 bulan saja. Sebab aaa...bila sampai saja itu Hindu punya raya , aku balik rumah keluarga aku kat Kulim. Aku pakai baju itu putih(jubah) dengan kopiah. Sampai saja di rumah, itu bapa aku tanya sama aku.Ini apa sudah jadi? Aku cakap,"saya sudah masuk Islam",cerita lelaki India ini dengan penuh semangat. Bapanya begitu marah dengannya. Jiwanya runtuh luluh apabila bapanya mengungkap kembali kehidupan lelaki yang dalam lingkungan 30-an ini.

"Bapa sudah jaga kamu dari kecil, bagi makan sama kamu tapi kamu sudah jadi macam ini". Ungkapan yang tersembur daripada mulut bapanya itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Walaupun begitu, dia nekad melarikan diri jauh daripada keluarganya. Fikirannya menjadi berkecamuk selepas kejadian itu." Banyak sungguh masalah, aku punya kepala sudah pening",bicaranya. Dalam kerancakan dia berkata-kata,Zulkarnain bertanya mengenai puasa dalam agama Hindu." Orang India puasa aaa,pagi-pagi boleh minum itu susu saja. Tengah hari kena makan makanan vegetarian. Lepas itu tunggu sampai malam. Aku menyampuk," Nama pun itu puasa boleh makan ka?". Dia menggerakkan bahunya tanda tidak tau dan ketawa menampakkan giginya yang kuning itu. Setelah itu kami diam sebentar. Bunyi hiruk-pikuk di luar hospital kedengaran dengan pikuknya." Kalau Hindu ar.., itu punya daging lembu aa tak boleh makan", kata-katanya memecahkan 'kediaman' kami sejak tadi. Kami mengganguk kepala walaupun kami sudah maklum hal itu." Sebab apa tidak boleh makan?" Aku bertanya." Sebab aa.., lembu itu suci. Kita minum itu susu lembu sejak kita kecil lagi. Orang Hindu anggap lembu ini ar macam tuhan.Macam itu ibu kita juga. Aku dan sahabat-sahabatku yang lain ketawa berdekah-dekah. Tidak mampu untuk menahan lagi.

'Sudah jatuh ditimpa tangga'. Hanya perumpamaan ini sahaja yang boleh dikatakan kepada Abdul Rasyid. Setelah bergaduh dengan keluarganya, isterinya pula lari meninggalkan dia. Hal ini yang demikian kerana dia sudah kehilangan tangan kirinya yang sudah ditimpa tangki air setahun lebih yang lalu. Isterinya berasa malu dan enggan bersamanya lagi. Dia memberitahu bahawa dia sudah mempunyai seorang anak. Anaknya kini berada di Sungai Petani mengikuti persekolahan di sana. Dia mahu memperbaharui sijil kelahiran anak tunggalnya itu. Sijil itu sudah lama hilang. Dia juga mahu memperbaharui sijil keIslamannya. Tetapi dia belum lagi mendapat kerja. Tiada siapa yang membantunya. Bagaimana dia mahu melakukan semua itu?

Friday, December 12, 2008

Kisah Si Sopak,Si Botak dan Si Buta.





Kisah ini merupakan kisah teladan yang sangat berguna kepada semua. Mungkin sesetengah orang sudah selalu mendengar kisah ini. Tetapi saya ingin juga menceritakan demi manfaat dan teladan bersama.




Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan tiga orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat; seorang botak, seorang sopak dan seorang lagi buta.

Malaikat yang menyamar seperti manusia itu bertanya kepada si-sopak "Jika Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?" Si-sopak menjawab, "Saya mahu kulit saya sembuh seperti biasa dan diberi kekayaan yang banyak." Dengan takdir Allah, kulitnya kembali sembuh dan dikurniakan rezeki yang banyak.

Kemudian malaikat bertanya kepada si-botak soalan yang sama. Si-botak menjawab, "Saya mahu kepala saya berambut semula supaya kelihatan kacak dan diberikan harta yang banyak." Tiba-tiba, dengan kurnia Allah si-botak itu kembali berambut dan diberikan harta yang banyak.

Selepas itu malaikat bertanya kepada si-buta pertanyaan yang sama. Si-buta menjawab, "Saya hendak mata saya dicelikkan semula dan diberikan harta yang banyak." Dengan takdir Allah, mata si-buta menjadi celik dan dikurniakan kekayaan yang melimpah.

Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga orang cacat itu. Kali ini malaikat menyamar sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan orang pertama yang dulunya sopak dan meminta sedikit wang. 'Si-sopak' itu tidak menghulurkan sebarang bantuan malah mengherdik malaikat. Malaikat berkata, "Saya rasa saya kenal kamu. Dulu kamu sopak..dan miskin. Allah telah menolong kamu." Si-sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, si-sopak yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi miskin.

Kemudian malaikat berjumpa dengan si-botak yang telah menjadi kaya dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, si-botak juga enggan membantu, malahan dia tidak mengaku bahawa dia dulu botak. Oleh sebab sombong dan tidak sedar diri, Allah menjadikan kepalanya botak semula dan bertukar menjadi miskin.

Malaikat berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat meminta bantuan, si-buta memberikan keseluruhan hartanya dan berkata, "Ini semua harta pemberiaan Allah. Ambillah kesemuanya. Mata saya yang kembali celik ini adalah lebih berharga daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian itu. Dia memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang dulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur.

Si-buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya. Manakala si-sopak dan si-botak kekal dengan keadaannya yang asal.

Monday, September 22, 2008

Adakah Kita Sudah Melakukan Yang Terbaik?

Ramadhan kali ini semakin lama semakin mahu meninggalkan kita. Rasa sedih dalam hati tidak dapat ditepis lagi. Kita tidak tahu kita akan dapat berjumpa dengan Ramadhan pada edisi yang seterusnya. Kita tidak tahu kita mahu hidup sampai bila. Kita tidak tahu bila malaikat akan datang menyambut kita untuk bertemu yang Maha Esa. Bagaikan embun pagi,tanpa kita sedari sudah membasahi Bumi yang hijau ini. Begitulah Ramadhan,terasa baru 2 hari berpuasa.

Namun, Ramadhan merupakan bulan Hijrah yang amat istimewa untuk manusia yang beragama Islam tidak kira bangsa apa. Melayu,Cina,India,Kadazan atau Iban sekalipun. Kita semua mempunyai matlamat yang sama. Bulan ini mengajar kita erti kedewasaan diri. Mengajar erti kesusahan. Kesusahan mengajar kita erti kesabaran. Kesabaran dapat mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T.. Janganlah kita berasa letih dalam melakukan amal ibadah kerna keletihan yang kita rasai itu akan mendapat kesenagan di sanan nanti. Kini hanya tinggal 8 hari sahaja lagi untuk kita menyambuyt hari Raya Idul Fitri. Dalam 8 hari yang sayup-sayup pergi ini,adakah kita mampu istiqamah dan seterusnya meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada Yang Maha Kuasa?

Bagi saya,keikhlasan dalam diri setiap insan yang berpegang pada satu akidah yang sama sangat penting dalam menjana kekhusyukkan. Saya sedar pada diri saya bahawa kadang-kadang saya tidak dapat mencapai keikhlasan yang sebenar-benarnya. Saya tahu bahawa ramai teman di luar sana juga seperti saya. Mungkin kita sekadar retorik. Hanya berkata-kata kosong. Tidak dapat melakukannya dengan terbaik ataupun tidak melakukannya langsung. Dalam manusia berlumba-lumba untuk mendapat kemewahan dunia , mereka lupa kan matlamat mereka yang sebenar. Kita boleh lihat dengan mata kaca kita sendiri,debu kejahilan yang ada pada manusia sering bertambah luka. Jika manusia yang satu akidah tidak sama-sama membantu dan menasihati satu sama lain ataupun tidak menjirus diri mereka dengan madu keimanan mereka akan terus lalai dalam dunia yang kecil ini.

Friday, August 22, 2008

Kisah Seekor Kijang dan Pemburu Kijang



Suatu kisah yang pada ku banyak menyedarkan aku untuk sentiasa bertawakkal kepada Allah s.w.t dan jugak yang mana kita sentiasa yakin dengan kehendakNYa, macam2 boleh terjadi.

kisah ni diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang lelaki lalu disisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang ditangkapnya.

Lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s.a.w :

Si Kijang itu pon berkata:

"Hai Pesuruh Allah,sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke mari."

Bersabda Rasulullah s.a.w. " Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari semula?"

Jawab kijang itu: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah Taala akan melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak mengucapkan selawat bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya."

Lalu Nabi s.a.w. pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya."

Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka turunlah malaikat Jibril a.s. dan berkata : "Hai Muhammad, Allah Taala mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman: " Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau."

Alhamdulillah..marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat kerana kita tergolong dalam umat Muhammad.


Panjangkan kisah ini kepada sahabat-sahabat dan sudara-mara. Semoga kita sama-sama berusaha dalam menghidupkan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah SAW.



"Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
(surah Al-Baqarah ayat : 208)

Wednesday, July 9, 2008

Cerita Mengenai Semut...



Dalam perjalanannya ke sekolah setiap hari, Omar berjalan melalui taman rumah di seberang jalan dan menanti di sana untuk seketika. Seorang kawan istimewanya tinggal di taman ini. Siapapun tidak mengenali kawan ini, tetapi Omar amat menyayanginya. Omar tidak pernah lupa menziarahi kawannya, dan dia amat gembira dengan persahabatan mereka. Tambahan pula, dia mempunyai seorang sahabat yang lebih pintar daripada orang lain. Walaupun saiz badannya kecil, tetapi kawannya ini melakukan banyak perkara-perkara penting. Dia juga adalah seorang yang kuat bekerja. Dia melakukan semua kerja-kerjanya dengan baik dan dalam masa yang sepatutnya, seolah-olah dia adalah seorang askar. Walaupun dia tidak pergi ke sekolah seperti Omar, dia melaksanakan dengan jayanya banyak tugas-tugas yang diperlukannya di dalam hidupnya.
Sudah tentu kamu tertanya-tanya siapakah sahabatnya itu?
Sahabat rahsia Omar ialah seekor semut, yang dapat melakukan banyak perkara-perkara yang indah.
Mungkin kamu belum pernah mendengar betapa mahir dan bijaknya semut. Sebahagian kamu mungkin menganggap mereka sebagai serangga-serangga ringkas yang hanya melata ke sana sini tanpa melakukan apa-apa. Tetapi mereka yang beranggapan demikian telah tersilap, kerana semut, seperti juga hidupan lain, mempunyai kehidupan mereka sendiri.
Omar berkesempatan untuk mempelajari dengan lebih terperinci kehidupan ini daripada sahabatnya. Kerana itulah dia tidak pernah lupa untuk menziarahi sahabatnya dan amat gemar berbual dengannya.
Semut-semut penganyam adalah tukang jahit yang mahir. Mereka menyambung daun-daun dengan menariknya daripada dua bahagian dan menjahit daun-daun ini bersama. Dengan cara ini, mereka membuat rumah yang baik untuk diri mereka.
Omar berasa amat kagum dengan perkara-perkara yang didengarinya daripada sahabatnya tentang dunia semut. Dia ingin berkongsi semua yang telah dipelajarinya tentang bakat, kebijaksanaan dan semua sifat-sifat lain hebat sahabat kecilnya ini dengan orang lain.
Jadi, apa yang menyebabkan Omar begitu gembira? Kenapa dia begitu tertarik dengan dunia semut? Sudah tentu kamu tertanya-tanya mengapa. Jadi teruskan membaca...
Semut mempunyai jenis yang lebih banyak daripada hidupan-hidupan yang lain. Daripada setiap 700 juta semut yang dilahirkan ke dunia, hanya terdapat 40 kelahiran manusia. Dengan kata lain, jumlah semut-semut di dunia ini adalah jauh lebih tinggi daripada manusia.
Semut-semut penjaga pintu mengawal sarang. Mereka melakukan tugas ini dengan jayanya. Semut-semut lain juga kuat bekerja. Mereka melakukan semua kerja-kerja di dalam sarang.
Keluarga semut juga amat besar. Contohnya, kamu mungkin mempunyai sebuah keluarga yang terdiri daripada 4-5 orang anggota. Bagaimanapun, di dalam keluarga semut, kadang kala terdapat berjuta-juta semut. Sekarang fikirkan untuk seketika: jika kamu mempunyai berjuta-juta adik beradik bolehkan kamu tinggal di dalam sebuah rumah? Sudah tentu tidak!
Kehebatan sifat-sifat semut tidak berakhir di sini sahaja. Walaupun, berjuta-juta mereka tinggal bersama, mereka tidak mempunyai sebarang masalah di antara mereka, tidak ada kekeliruan atau kecamukan. Mereka hidup di dalam kehidupan yang begitu terancang di mana setiap mereka mematuhi peraturan.
Sebahagian keluarga semut adalah tukang jahit, yang lain pula menghasilkan makanan mereka sendiri seperti peladang, dan yang lain pula menjalankan ladang-ladang kecil di mana mereka memelihara haiwan-haiwan kecil. Seperti mana manusia memelihara lembu dan menggunakan susunya, semut pula memelihara kutu-kutu kecil (kutu daun) dan menggunakan susunya.

Semut-semut "bercakap" di antara satu sama lain dengan menyentuh.
Sekarang mari kita lihat apa yang Omar akan katakan tentang dunia semut ini:


Omar: Saya mula menyedarinya apabila saya ternampak kepalanya yang kecil itu muncul daripada tanah. Kepalanya menarik perhatian saya, kerana ia lebih besar daripada badannya. Saya tertanya-tanya mengapa kepalanya begitu dan mula memerhatikan sahabat kecil saya ini. Kepalanya yang lebih besar daripada badan membantunya untuk bekerja sebagai pengawal di pintu masuk sarang. Adakah kamu mahu tahu 'bagaimana'? Dia memeriksa sama ada semut-semut yang hendak memasuki sarang berasal daripada keluarganya atau tidak, dan dia tidak akan membenarkan mereka masuk sekiranya mereka orang asing.
Sebaik sahaja melihatnya, saya bertemu dengannya dan memintanya menceritakan apa yang sedang berlaku di dalam. Sahabat kecil saya faham akan perasaan ingin tahu saya, dan mula memberitahu saya tentangnya. Apa yang paling menghairankan saya ialah bagaimana semut-semut yang berkepala besar mengenali rakan-rakan sama sarang dengan mereka dan membenarkan mereka masuk.
Semut-semut tidak mahu orang luar memasuki sarang mereka, kerana ia akan mengancam keselamatan mereka. Mereka tidak akan ragu-ragu untuk bergaduh untuk melindungi sarang dan sahabat-sahabat mereka.


Si Semut: Omar, pertamanya biar saya memaklumkan kepada awak bahawa kami memanggil keluarga kami sebuah 'gerombolan'. Dengan kata lain, kami hidup di dalam masyarakat yang digelar gerombolan. Seekor semut dapat memberitahu dengan mudah sama ada semut lain berasal daripada gerombolannya atau tidak. Dia melakukannya dengan menyentuh badan semut tersebut dengan sesungutnya, (batang kecil dan nipis yang keluar daripada atas kepalanya) yang membantunya membezakan semut luar. Bagaimanapun, kami mungkin terpaksa menggunakan kekerasan untuk menghalaunya.


Omar terperanjat mendengar tentang sistem keselamatan mereka yang sempurna dan tertanya-tanya bagaimana semut-semut asing cuba memasuki sarang. Apabila dia berkongsi pemikiran ini dengan sahabatnya, dia tersenyum kepadanya dan menyatakan bahawa terdapat banyak perkara yang akan memeranjatkannya.
Semut-semut mempunyai tugas-tugas berbeza. Mereka bekerja keras pada kerja mereka tanpa berehat.


Semut tersebut kemudian berkata: "Biar saya memberitahu awak tentang keadaan dalaman sarang kami, yang kamu beria-ia untuk mengetahuinya. Gerombolan-gerombolan kami mempunyai seekor ratu semut, semut-semut jantan, askar-askar dan semut-semut pekerja.
Ratu dan semut-semut jantan mengekalkan spesies kami. Ratu lebih besar daripada kami semua. Tugas semut-semut jantan ialah untuk membolehkan ratu melahirkan semut-semut baru. Askar-askar bertanggung jawab memelihara gerombolan kami, memburu dan mencari tempat baru untuk sarang. Kumpulan terakhir mengandungi semut-semut pekerja. Semut-semut pekerja semuanya terdiri daripada semut-semut betina yang mandul. Iaitu, mereka tidak bolehmelahirkan anak. Mereka menjaga ratu dan anak-anaknya, dan membersihkan dan memberi makan kepada mereka. Lebih daripada itu, mereka terpaksa melakukan semua kerja-kerja lain di dalam gerombolan. Mereka membina koridor lubang baru di dalam sarang, mencari makanan dan membersihkan sarang. Semut-semut pekerja dan askar juga terbahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil di kalangan mereka. Sebahagian mereka adalah penternak, juru bina, dan pencari makanan. Setiap kumpulan mempunyai tugas-tugas yang berbeza. Ketika satu kumpulan berlawan dengan musuh-musuh atau berburu, kumpulan lain pula membina sarang, dan yang lain pula mengambil berat tentang kebersihan dan membaiki sarang".


Apabila sahabat kecil Omar telah menjelaskan semuanya, dia mendengarnya dengan penuh tanda tanya, dan kemudian menyoalnya: "Tidak pernahkah kamu merasa bosan, menanti di pintu masuk sarang setiap masa? Apakah tugas kamu di dalam sarang?
Si semut menjelaskan: "Saya juga seorang pekerja, dan tugas saya ialah untuk bekerja sebagai penjaga pintu. Seperti yang dapat kamu lihat, kepala saya cukup besar untuk menutup lubang masuk sarang. Saya bangga mempunyai kebolehan ini, dan saya melaksanakan tugas saya dengan bangga. Saya tidak pernah bosan; sebaliknya, saya gembira kerana saya melindungi sahabat-sahabat saya daripada ancaman".


Omar tidak dapat menahan kekagumannya terhadap jawapannya. Semut-semut bekerja sepanjang masa untuk menolong yang lain, tanpa memikirkan diri mereka sendiri dan tanpa sebarang masalah - sesuatu yang sering tidak dapat dilakukan oleh manusia.
Daripada apa yang telah diberitahu oleh sahabat kecilnya, dia dapat memahami dengan mudah bahawa kerja-kerja di dalam sarang telah dibahagikan dengan sempurna di antara semut-semut ini. Jelas di sini bahawa kehidupan semut-semut telah diatur dengan baik dan semua semut-semut ini tidak mementingkan diri. Kemudian dia tertanya-tanya sama ada mereka pernah bergaduh di kalangan mereka kerana sebahagian mereka mendakwa mereka lebih baik atau lebih kuat daripada yang lain.




Sahabat beliau berkata bahawa perkara seperti itu tidak pernah berlaku dan menambah:
Pekerja-pekerja yang rajin sedang bekerja.


"Kami adalah sebuah keluarga yang besar, Omar. Tidak ada perasaan cemburu, persaingan atau angan-angan di kalangan kami. Kami selalu tolong-menolong di antara satu sama lain dan kami melakukan yang terbaik untuk gerombolan kami. Segala-galanya di dalam gerombolan ini adalah berdasarkan kepada pengorbanan. Setiap semut memikirkan kepentingan sahabat-sahabatnya terlebih dahulu, dan kemudian barulah dirinya. Biar saya berikan kamu satu contoh. Apabila berlaku kekurangan makanan di dalam gerombolan, semut-semut pekerja dengan segera berubah menjadi semut "pemberi makan", dan mula memberi makan kepada yang lain dengan makanan di dalam perut simpanan mereka. Apabila telah cukup makanan di dalam gerombolan, mereka sekali lagi bertukar menjadi semut-semut pekerja.
Saya pernah mendengar manusia menyatakan bahawa terdapat persaingan di dalam alam semula jadi. Jangan sekali-sekali percaya apa yang mereka katakan. Kami lebih tahu bahawa kami perlu bekerjasama untuk berjaya."


Omar menyatakan bahawa apa yang telah dia beritahunya tentang dirinya dan gerombolannya adalah satu contoh yang baik. Dia amat gembira mengetahui bahawa Allah telah menjadikannya begitu tidak mementingkan diri sendiri, membantu dan sukakan sahabat-sahabatnya. Selepas apa yang diberitahunya kepadanya, dia memilih untuk menjadi sekurang-kurangnya seorang yang selalu memikirkan orang lain seperti mana semut-semut tersebut, dan menjadi orang baik yang Allah sukai.


Dia telah terlewat dan perlu pergi segera ke sekolah. Dia memberitahu sahabatnya bahawa dia terpaksa pergi, tetapi dia akan datang bertemu dengannya esok.


Keesokannya, Omar pergi semula ke tempat yang sama dan menanti sahabat kecilnya. Selepas beberapa minit, dia muncul. Dia memberitahunya bahawa dia tidak sabar menanti sepanjang malam untuk bertemu dengannya lagi. Kemudian mengingatkannya tentang janjinya untuk menceritakan kepadanya keadaan dalaman sarang. Oleh itu, si semut mula menceritakan tentang tempat tinggalnya:


"Walaupun kami adalah haiwan-haiwan yang kecil, sarang kami amat besar, tidak ubah seperti ibu pejabat sebuah angkatan tentera yang besar. Jika kamu orang luar, kamu tidak akan dapat memasukinya. Kerana, seperti yang telah kamu ketahui, terdapat pengawal-pengawal seperti saya di pintu-pintu.


Di dalamnya, terdapat aktiviti yang sangat tersusun dan berterusan. Beribu, malah berjuta-juta semut askar dan pekerja seperti saya bekerja di dalam keadaan yang paling mudah.
Lagipun, kami telah memikirkan semua keperluan-keperluan kami ketika kami mendirikan bangunan-bangunan kami. Contohnya, bangunan kami mempunyai paras-paras bawah tanah yang hanya mengehadkan sejumlah cahaya matahari masuk. Tetapi terdapat juga bahagian di mana tenaga cahaya matahari diperlukan. Kami membina bahagian ini di paras paling atas, yang menerima cahaya matahari pada sudut paling luas. Dan kemudian, terdapat juga bahagian-bahagian yang perlu berada dalam keadaan berhubungan di antara satu sama lain. Kami membinanya berhampiran di antara satu sama lain, supaya semut-semut dapat bertemu antara satu sama lain dengan mudah. Ruang simpanan kami, di mana bahan-bahan lebihan kami disimpan, dibina sebagai satu bahagian yang terpisah di satu bahagian bangunan. Bilik-bilik kecil di mana kami menyimpan makanan kami ditempatkan di tempat-tempat yang mudah dicapai. Tambahan pula, terdapat juga sebuah dewan di bahagian tengah bangunan di mana kami berkumpul pada waktu-waktu tertentu".


Di sebelah, kita dapat melihat sebuah bandar bawah tanah. Walaupun tubuh mereka kecil, mereka dapat membina bandar-bandar yang begitu besar.


Apabila Omar mendengar semua ini, dia bertanya kepada sahabat kecilnya: "Apakah kamu benar-benar melakukan semua ini? Saya tidak tahu semut-semut dapat bekerja seperti jurutera-jurutera dan arkitek-arkitek yang mahir. Jika manusia hendak mendirikan bangunan-bangunan yang sempurna, mereka perlu meluangkan banyak tahun di sekolah dan bekerja keras. Adakah kamu juga mendapat latihan yang sama?" Sebagai balasan, si semut tersebut memberitahunya lebih banyak perkara-perkara menarik tentang sahabat-sahabatnya:


"Tidak, Omar. Kami semua mempunyai kemahiran ini di dalam diri kami. Ia tidak pernah diajarkan kepada kami, tetapi kami mengetahui dengan tepat apa yang perlu dilakukan, dan bila. Bukan setakat itu sahaja. Apa yang akan saya beritahu kamu selepas ini akan lebih memeranjatkan kamu.


1. Sistem Pertahanan Udara


2. Bangsal Perkebunan


3. Pintu Masuk Utama dan Pintu-Pintu Masuk Sisi


4. Bilik-Bilik yang Telah Siap


5. Perkuburan Penyimpanan


6. Bilik Pengawal


7. Perisai Luar


8. Bilik Asuhan


9. Gudang Daging


10. Gudang Bijirin


11. Penjagaan Kanak-Kanak untuk Larva-Larva


12. Bilik Musim Sejuk


13. Pusat Sistem Pemanasan


14. Bilik Mengeram


15. Bilik Diraja...


Sudah tentu semut-semut tidak dapat merancang dan mereka semua perincian ini sendiri.Mereka telah didorong oleh Allah untuk melakukannya.
Seperti yang telah saya beritahu kamu sebelum ini, bangunan kami sangat besar jika dibandingkan dengan saiz kami. Bagaimanapun, kepanasan di setiap tempat adalah sama rata. Di dalam sarang kami, terdapat satu sistem pemanasan yang sangat maju. Dengan cara ini, suhu akan kekal sepanjang hari. Untuk menjamin perkara ini, kami menutup permukaan luar bangunan kami dengan bahan-bahan yang tidak membenarkan kepanasan masuk. Dengan cara ini, kami juga menghalang udara sejuk masuk ketika musim sejuk dan menahan udara panas pada musim panas. Dengan cara inilah kami mengekalkan suhu pada satu paras".


Rumah yang semut-semut bina untuk diri mereka adalah seperti sebuah istana bagi mereka.
Sudah tentu jika Omar tidak bertemu dengan sahabat kecilnya ini, dia sukar untuk percaya bahawa semut dapat melakukan semua ini. Dia berkata kepada si semut: "Sebelum kamu memberitahu saya perkara ini, jika seseorang datang dan memberitahu tentang perincian tentang sarang kamu dan bertanya siapakah yang dapat membina sarang seperti itu, sudah tentu saya memberikan jawapan yang berbeza. Saya mungkin akan mengatakan bahawa sebuah sarang seperti itu hanya dapat dibina dengan peralatan yang baik dan kerja keras oleh orang-orang yang mahir. Jika ada orang menyatakan bahawa sarang ini tidak dibina oleh orang yang berpelajaran tetapi oleh semut-semut, sebenarnya, saya tidak mungkin akan mempercayainya".
Ketika sahabat kecilnya, si semut bercakap dengannya, banyak anggapan melintasi mindanya. Dia beranggapan bahawa mereka lebih mahir daripada manusia, dan mula melihat haiwan-haiwan dengan pandangan yang berbeza. Dia faham semut-semut itu telah dijadikan Allah, dan ilham Allah kepada mereka setiap masa yang menjadikan mereka berkelakuan seperti ini. Jika tidak, mereka tidak akan dapat melakukan perkara-perkara ini dengan berjaya.


Ketika semua perkara ini terlintas di fikirannya, sahabat kecilnya masih terus bercakap. Apabila dia telah selesai, Omar menjadi lebih tertarik, dan mahu bertanyanya tentang semua yang terlintas di fikirannya. Dia bertanyakan soalan pertama yang difikirkannya segera. Dia telah diberitahu sebelum ini bahawa semut-semut ini berkelakuan seperti peladang, jadi dia bertanya bagaimana mereka dapat melakukannya. Bagaimana seekor semut yang begitu kecil, berladang di atas tanah tanpa sebarang peralatan, sesuatu yang manusia pun sukar untuk melakukannya?
Si semut berkata: "Biar saya beritahu awak satu perkara tentang kami. Dengan cara itu, ia akan memudahkan untuk menjawab soalan kamu. Walaupun kami kelihatan sama semuanya, kami sebenarnya terbahagi kepada banyak kumpulan-kumpulan yang berbeza mengikut cara kami hidup dan rupa kami. Terdapat 8,800 jenis semut yang berbeza. Setiap spesies mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Semut peladang adalah salah satu daripadanya. Sekarang, saya akan memberitahu kami tentang semut yang terlibat di dalam perladangan. Mereka digelar "attas", iaitu, semut pemotong daun.Sifat-sifat terkenal attas ialah kebiasaan mereka membawa di atas kepala mereka pecahan-pecahan daun yang telah dipotong. Untuk tujuan itu, mulanya mereka melicinkan jalan mereka, supaya mereka dapat melaluinya dengan mudah. Jalan di mana mereka berjalan ke sarang mereka ketika membawa pecahan-pecahan dedaun kelihatan seperti sebuah lebuh raya kecil. Semut-semut berjalan perlahan-lahan sepanjang jalan ini,mereka mengutip semua ranting-ranting, batu-batu kerikil kecil, rumput dan tumbuhan liar di atas tanah, dan membuangnya. Jadi mereka membersihkan sebuah jalan untuk diri mereka sendiri.
Selepas melakukan kerja yang banyak dan lama, lebuh raya mereka menjadi lurus dan licin seperti telah diratakan oleh alat khas. Attas berjalan di atas laluan ini, berlindung di bawah pecahan-pecahan daun yang besar, yang mereka bawa di dalam rahang-rahang mereka yang dikepit kejap.


Attas memotong dedaun dengan mahir dan berhati-hati.


Omar: Kamu katakan mereka bersembunyi di bawah daun-daun? Mengapa attas merasa perlu untuk bersembunyi di bawah daun-daun?


Si Semut: Kadang kala, semut attas perlu berhati-hati, Omar. Contohnya, pekerja attas yang bersaiz sedang meluangkan hampir sepanjang hari berada jauh daripada sarang, membawa dedaun. Adalah sukar untuk mereka melindungi diri mereka ketika melakukannya, kerana mereka membawa dedaun di rahang mereka, yang selalunya mereka gunakan untuk mempertahankan diri.


Omar: Jadi, jika mereka tidak dapat mempertahankan diri, siapa yang melakukannya untuknya?


Si Semut: Semut-semut pekerja pemotong daun sentiasa ditemani oleh pekerja-pekerja yang lebih kecil. Pekerja-pekerja ini memanjat naik ke atas daun yang dibawa oleh attas dan terus memerhati. Jika berlaku serangan musuh, mereka akan melindungi sahabat-sahabat mereka, walaupun mereka bersaiz kecil.
1- Semut-semut memotong daun-daun yang mereka bawa ke sarang kepada cebisan-cebisan.


2- Mereka mengunyah cebisan-cebisan ini menjadi pulpa.


3- Mereka meletakkan pulpa ini di atas benda yang berasaskan daun-daun kering di dalam bilik-bilik baru.


4- Mereka meletakan cebisan-cebisan kulat yang mereka ambil daripada bilik-bilik lain di atas pulpa ini.


5- Sekumpulan semut-semut yang sibuk membersihkan taman dan membuang semua benda-benda yang tidak diperlukan.

Omar: Itu adalah satu lagi contoh pengorbanan. Tetapi saya ingin mengetahui satu lagi perkara. Untuk apa attas-attas ini menggunakan dedaun ini? Mengapa attas-attas ini membawa dedaun ini sepanjang hari?

Si Semut: Mereka memerlukannya untuk perladangan mereka. Attas menggunakan dedaun ini untuk menanam kulat. Semut-semut tidak dapat memakan dedaun ini sendiri. Oleh itu semut-semut pekerja membuat satu longgokan pecahan-pecahan dedaun selepas mengunyahnya, dan kemudian menempatkannya di dalam bilik-bilik bawah tanah di dalam sarang mereka. Di dalam bilik-bilik ini, mereka menanam kulat di atas daun-daun dan mereka memperoleh makanan mereka daripada pucuk-pucuk kulat yang tumbuh.

Kamu tentu tertanya-tanya bagaimana semut-semut kecil ini dapat melakukan pekerjaan menakjubkan seperti ini sendiri?Omar: Ya, memang saya cuba memahami bagaimana semut-semut dapat melakukan semua itu. Contohnya, jika kamu meminta saya menanam kulat, sudah tentu ia bukan pekerjaan yang mudah bagi saya. Sekurang-kurangnya saya perlu membaca beberapa buah buku atau meminta nasihat daripada mereka yang tahu melakukannya. Tetapi saya tahu semut-semut tidak mendapat latihan seperti ini.
Sekarang baru saya faham apa yang menyebabkan kamu dan sahabat-sahabat kamu begitu mahir. Kamu telah diprogramkan untuk melakukan tugas-tugas kamu. Contohnya, attas telah wujud di dunia ini dalam keadaan telah sedia mengetahui tentang perladangan. Sudah tentu, Allah, Pencipta semua hidupan, telah memberikan kemahiran ini. Allahlah yang telah menjadikan kamu dan sahabat-sahabat kamu dengan sifat-sifat yang hebat ini.

Attas membawa daun-daun yang mereka potong.

Si Semut: Kamu betul, Omar. Kami mengetahui perkara-perkara ini secara semula jadi. Pencipta kami, Allah, memberikannya kepada kami sebagai satu nikmat.

Omar telah lewat lagi. Dia mengucapkan terima kasih kepadanya, dan pergi ke sekolah. Ketika berjalan, perkara-perkara yang sahabat semutnya telah beritahunya masih bergema di dalam telinganya. Sementara itu, dia terus berfikir.
Perlakuan-perlakuan mahir semut menunjukkan kepada satu kebijaksanaan hebat. Tetapi kebijaksanaan ini tidak mungkin kepunyaan semut-semut itu sendiri. Tambahan pula, mereka hanyalah makhluk-makhluk kecil. Kalau begitu, sudah tentu semua kemahiran semut menunjukkan kepada manusia kebijaksanaan Allah. Untuk menunjukkan kehebatan-Nya dan kesenian rekaan-Nya, Pencipta semut ini, telah menjadikan makhluk-makhluk kecil ini melakukan tugas-tugas yang tidak dapat mereka lakukan dengan kebijaksanaan dan kehendak mereka sendiri.
Sahabatnya memiliki kebijaksanaan, kemahiran dan pengorbanan semula jadi kerana dorongan Allah. Semua yang dilakukannya menunjukkan bahawa ia bukan kuasa dan kebijaksanaannya, tetapi Allah.

Memikirkan perkara-perkara ini, dia menyedari bahawa beberapa perkara yang digambarkannya sebelum ini secara berbeza telah digantikan oleh pandangan-pandangan fakta yang sebenar. Dia juga memahami kini bahawa cerita-cerita tentang hidupan, bagaimana mereka wujud secara kebetulan, bagaimana mereka memperoleh kemahiran-kemahiran yang mereka miliki secara kebetulan melalui satu jangka masa, adalah dusta. Bagaimana ia boleh menjadi benar? Cuba fikirkan, bagaimana semut-semut ini "bercakap" di antara satu sama lain dengan begitu sempurna jika mereka wujud secara kebetulan? Bagaimana mereka dapat berhubung di antara satu sama lain tanpa sebarang kekeliruan, dan membina sarang yang sempurna? Lagipun, jika semua semut-semut ini telah wujud secara kebetulan dan jika mereka hidup hanya untuk mempertahankan diri, bagaimana mereka dapat melakukan pengorbanan yang sangat besar di antara satu sama lain?

Dia memikirkan perkara ini sepanjang hari di sekolah. Apabila dia pulang pada sebelah petangnya, dia memilih untuk membaca al-Quran, yang telah Allah turunkan kepada semua manusia. Ayat pertama yang dibacanya adalah seperti berikut:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Ali Imran: 190-191)

Dia yakin bahawa Allah telah menjadikan semut, dirinya, ibunya dan bapanya, saudaranya dan segalanya di alam semesta ini. Sahabat kecilnya telah mengingatkannya tentang satu kenyataan penting di dunia ini: iaitu tiada pencipta selain daripada Allah.
Saya percaya apabila kamu membaca ayat-ayat ini, kamu semua akan memahami kebenarannya seperti Omar, dan mengetahui bahawa Allahlah yang telah menjadikan segalanya.


Kemudian kamu akan berkata: "Darwin, yang menyatakan bahawa hidupan tidak dijadikan, tetapi telah wujud secara kebetulan, adalah suatu pembohongan besar. Apabila kita dikelilingi oleh makhluk-makhluk yang mempunyai banyak kemahiran menakjubkan, adalah mustahil untuk memikirkan bahawa ia wujud secara kebetulan".

Jadi, seperti Omar kamu juga mungkin menemui suatu hari nanti seorang kawan baik, jangan lupa bahawa banyak yang dapat kamu pelajari daripadanya. Kaji dan fikirkan tentang kesempurnaan di dalam kesenian Allah, Yang menjadikannya. Dan jika kamu bertemu dengan pendusta-pendusta seperti Darwin, ceritakan kepada mereka tentang sifat-sifat sahabat kecil kamu dan katakan bahawa kamu tidak akan mempercayai penipuan-penipuan mereka yang tidak masuk akal.