Hujan
Petang tadi hujan turun dengan renyai-renyai. Burung-burung yang berterbangan meninggalkan permainan di atas angin. Awan yang telah penuh dengan air tidak dapat lagi menahan rasa. Muntahan mutiara-mutiara segar lalu deras turun ke muka bumi. Penuh dengan rasa keindahan. Aku masih lagi terlena dek keletihan. entah keletihan apa yang aku tanggungkan. Hendak kata lakukan kerja berat tidak sama sekali. Mungkin terlelap kerana cuaca yang sejuk dan mendung. Umpama malam. Matahari tidak nampak mukanya. Air yang turun menghentam bumi mengeluarkan bunyi. Aku masih pekak dan bisu membiarkan hujan itu turun.
Cuti
Perkataan inilah yang membuatkan pelajar-pelajar merasai keseronokan. Tidak perlu lagi ke sekolah mahupun kolej ataupun universiti buat semntara waktu. Perkataan inilah yang membuatkan aku merasai ketakutan. Ketakutan untuk pulang bercuti. Bukan bermakna aku tidak setuju dengan cuti,aku juga seperti pelajar-pelajar yang lain. Tetapi perkataan 'cuti' inilah yang merasukkan jiwa ini agar menjadi hina. Jiwa yang kotor memberontak mahukan kemaksiatan. Mahukan kenikmatan. Cuti sebenarnya tidak dapat mendidik hatiku ini agar terus istiqomah. Aku akan lalai dalam mengharungi hari-hari yang tiada pengisian. Batu yang diam akan dipenuhi dengan lumut. Sehebat mana pun kita jikalau hawa nafsu dan syaitan menguasai diri. Tiada yang dapat membentenginya melainkan iman yang kukuh. Sesungguhnya cutilah yang melumpuhkan jati diri remaja. Kebanyakkan remaja mengisi masa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Kiranya, aku akan bertambah setuju jikalau cuti ini penuh dengan pengisian yang santai. Cuti masih lagi menghantui pemikiran aku.
Matahari
Hujan kian reda. Awan berarak meninggalkan tempat yang telah ia sirami. Pergi setelah melakukan tugasannya. 'Dia' tidak pernah melanggar perintah dan suruhan. Patuh dan taat. Wajah matahari yang penuh dengan cahaya itu kembali menjelma. Menerangi setiap ruang lingkup kehidupan ini. Manusia keluar melakukan tugas masing-masing seperti biasa. Sudah tidak ada alasan lagi. Burung berterbangan riang bermain setelah lama berdiam di sarang. Perut yang kosong itu memberontak kelaparan. Anak-anak menangis kerana sudah lama mereka berpuasa. Kehadiran si cahaya itu memberi khabar gembira kepada makhluk-makhlukNya. Kehadirannya itu memberi erti bahawa itulah hujan yang terakhir menyirami kehidupan. Dan pada suatu saat nanti, manusia akan menanti hujan tiba dan mahukan matahari pergi pula.
Kota Tunjong
24 Zulkaedah 1431 H.
01/11/2010.
09:18 pm.
2 comments:
beautiful post. meaningful.pretty-pretty like(:
KEEP ON WRITING friend.
we care.we read yours.
t.y
mga ada sdikit mnfaatnya.
Post a Comment