Saturday, January 30, 2016

Harapan.

Setiap kita ada dosa yang kita sayang. Ada maksiat yang susah kita nak tinggalkan.
Walaupun kita tahu, Allah tak suka kita buat. Walaupun kita tahu, akibat yang akan kita dapat. Nanti Allah tak redha. Nanti kena azab. Kita tahu!
Tapi, kita buat juga.
Dosa tidak menjaga batasan pergaulan. Dosa tidak jaga pandangan. Dosa tidak jaga percakapan. Dosa tak jaga pendengaran. Kita tahu semua itu tak boleh, dan memang kita tak mahu pun buat semua itu. Tapi sebab kita lemah, kita terseret oleh nafsu.
Kita ulang. Lagi dan lagi. Walaupun dulu kita dah taubat sungguh-sungguh. Kita janji dengan Allah tak nak buat dah.
Kita tanya diri kita, munafikkah aku? Munafikkah aku dgn Allah?
Syaitan bisik kat telinga. "Kau memang munafik! Tuhan takkan terima taubat kau! Kau taubat pun nanti kau buat lagi..." Kita pun mengalah. Kita ikut syaitan. Syaitan suka. Dia berjaya jatuhkan kita.
Kita terus dalam maksiat. Semakin hari jiwa makin tak tenteram. Kita solat tapi tak rasa apa-apa. Kering. Tak rasa nak berdoa. Kita pun perasan. Kita makin jauh dengan kebaikan. Tak semangat. Kita makin selesa pula dengan maksiat.
Dulu takut-takut. Kemudian rasa bersalah sikit-sikit. Lepas tu dah tak rasa apa. Biasa ja buat dosa. Iman dah tak bermaya. Tunduk. Terduduk. Lalu tersungkur.
Lama. Puas kita cari kekuatan. Putus asa. Takut situasi yang sama berulang. Malu. Malu dengan tuhan. Nafsu tidak pernah kenyang. Tapi dosa sudah terlalu menggelapkan. Hati semakin kelam dan melemaskan.
Getus lubuk hati yang dalam. "Tuhan, masihkah ada harapan? Tuhan, pimpin aku pulang. Aku tidak mahu terus begini. Aku tidak mahu jadi hamba yang tidak diredha. Aku lemah dan tak berdaya. Bantulah aku yang penuh kelemahan ini. Tiada daya dan upaya melainkan daripada engkau ya Allah."
Jiwa kembali bertenaga. Pelita harapan menyala semula. Allah maha pengampun. Allah maha penyanyang. Allah uji sebab Allah sayang. Allah mahu kita kembali.
Baliklah. Baliklah bertemu dengan Allah dalam gelap malam. Lepaskan rasa hati yang terpendam pada setiap sujud dalam solat. Nikmati detik-detik berharga berhubung dengan pencipta sekalian alam. Cucurkan air mata kesyukuran atas rasa penghambaan ini. Atas sapaan lembut daripada Allah agar kita kembali.
Esok lusa mungkinkah aku berdosa lagi? Ah, esok lusa belum tentu ada. Pohon ampunlah pada salah yang telah kita zalimi diri sendiri. Mohon kekuatan agar kita tidak lagi mengulangi. Jangan biar putus asa menguasai.
Jika Allah ingin ambil nyawa kita nanti, biarlah kita dalam perjalanan balik kepadaNya. Walaupun masih terluka dan banyak cacat celanya. Bukan dalam perjalanan menjauh daripadaNya. Allah tahu kita sedang berusaha. Allah tahu kita tidak lupa padaNya.
Kita akan terus bertaubat dan bertaubat sehinggalah kita mati. Kerana kita tidak akan pernah suci. Kerna Allah sentiasa bersedia untuk mengampuni.
-alfaqir walhaqir ilallah-
( Saleem Wahab)
https://www.facebook.com/qolbun.saleem?fref=ts