Monday, September 1, 2008

Marhaban Ramadhan/Ramadhan Karim

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinantikan oleh setiap muslim bagai pengantin menantikan pasangannya untuk dijabkabulkan. Bulan pesta ibadah untuk muslim mukmin mengaut sebanyak banyaknya pahala. Bulan istimewa untuk mengukuh, memantap dan menguatkan jiwa,akal dan jasmani guna berhadapan cabaran hidup pada baki sebelas bulan yang lain sebelum bertemu semula Ramadhan sekali lagi. Bulan 'special offer' dari Allah S.W.T. untuk memperbaiki diri ,memperoleh rahmat ,memohon ampunan dosa dan bulan untuk meraih anugerah Allah S.W.T. yang tak terhingga. Tiada bandingan 'offer' Allah dapat disamakan dengan gandingan 'offer' dari seluruh manusia.

Ramadhan merupakan medan latihan praktikal pembangunan insan. Terbangunnya keinsanan seseorang boleh digilap dan diasah melalui latihan Ramadhan. Akal boleh disirami melalui membaca dan mentadabbur(memahami dan meneliti isi) Al-Quran. Jiwa terbangun dan menjadi bersih dan jernih daripada kotoran kerana berjaya melawan hawa nafsu. Memperbanyakkan ibadah (solat waktu berjamaah,tarawih,iktikaf,bertahajud) sepanjang Ramadhan secara berterusan dengan rasa iman dan keinsafan. Diperkayakan dengan rasa bertambah cinta dan kasih kepada Allah S.W.T. sebagai Pencipta dan yang memberi petunjuk serta hidayah kepadanya ,beristiqomah berada dipangkuan Islam ,mentaati titah perintah-Nya dan menjadi umat yang menuruti sunnah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam seluruh kehidupannya.

Muslim mukmin yang sedar dan insaf bahawa kewajipan puasa ini adalah daripada arahan Allah S.W.T. akn tampil menghayati Ramadhan dengan kesungguhan mujahadah menahan diri ,tidak menurut nafsu tetapi bersabar daripada terjerebak dan tererumus melakukan perbuatan keji,sia-sia dan maksiat. Hati,lidah,mata,telinga,kaki,tangan dan fikirannya terpimpin ,tahan ujian dan sentiasa berada di landasan akhlak dan keperibadian Islam. Dia gemar dan seronok berada dalam lingkungan amal kebaikan dan suasana yang soleh dan musleh sebaliknya rasa sempit dada jika berada dalam suasana lagha dan tidak berfaedah. Dia begitu ghairah menambah amal soleh supaya peroleh m,anfaat kesenangan dan keberuntungan kehidupan selepas mati. Dia sedar bahawa jika dia berpuasa tetapi masih bersarang dihati kejahatan zahir dan batin,nescaya tidak berfaedahlah puasanya. Apa yang diperolehnya cuma lapar dan dahaga. Rugilah kerana tidak mendapat keuntungan yang Allah ingin berikan. Sayang sejuta kali sayang.


"Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak medapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga."
-Riwayat An Nasa'i

No comments: