Bismillahirrahmanirrahim..Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Swt kerana dengan limpahan kurniaan hidayah-Nya kita masih berada dalam akhir-akhir bulan Ramadhan ini. Semakin hari semakin hampir Ramadhan meninggalkan kita. Semakin Syawal datang menjelma.
Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab ketika berada diambang Ramadhan , berulang-ulang kali beliau mengucapkan,
'Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, ahlan wa sahlan ya Ramadhan...'Sehinggakan khadam beliau mengatakan sekiranya manusia tidak mengetahui Ramadhan itu merupakan satu bulan,nescaya mereka akan menyangka Saidina Umar Ra sedang menuggu seorang lelaki yang bernama Ramadhan.
Bayangkan, di akhir-akhir Ramadhan ini pun mereka akan gelisah bahkan bersedih kerana Ramadhan akan berlalu pergi.
Adakah kita mengetahui hakikat berpuasa? Puasa bertujuan untuk mendapatkan taqwa. Taqwa merupakan sebuah bentuk ketaatan dan rasa takut kepada Allah Swt.
Suatu hari Saidina Umar Ra melepaskan tentera di medan perang dengan berpesan ,
"Aku lebih takut akan dosa-dosamu daripada musuh-musuhmu kerana jika kamu berdosa Allah akan biarkan kamu kepada musuh-musuhmu."Dalam peperangan lain, setelah selama 3 bulan peperangan tentera Islam tidak juga menang dan
kalah. Apabila Saidina Umar Ra mengetahui akan hal itu, beliau terus pergi menyiasat akan sebabnya. Beliau mendapati tentera Islam tidak lagi halus dalam taqwanya. Mereka lalai dalam bersugi dan tidak meluruskan saf-saf apabila melakukan solat.
Selepas semua itu diperbaiki, Islam mencapai kemenangan.
Jelaslah orang yang bertaqwa Allah Swt akan membantu dan memberi kemenangan di dunia dan akhirat.
Kita seharusnya merancang kehidupan yang hakiki iaitu kehidupan di akhirat.
Dunia ibarat persinggahan sementara . Kematian sering menghampiri kita tidak kira pangkat ,jawatan atau pun apa sahaja. Tidak kira di mana sahaja . Kita harus mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan . Sentiasa bermuhasabah kerana
peluang kehidupan di dunia hanyalah sekali sahaja tiada lagi peluang yang keduanya.
Penyesalan di sana tiada gunannya lagi. Marilah kita sama-sama menginsafi diri. Muslimin yang bijak adalah sentiasa bermuhasabah diri. Orang yang paling bijaksana adalah orang yang bermuhasabah dan menyediakan bekalan.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” (Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.)
Janganlah cahaya pagi satu Syawal nanti menjadikan surau-surau kosong kembali, al-Quran tidak lagi di baca dan tahmid dan takbir tidak lagi kedengaran. Kita tidak mahu menjadi seorang muslim di bulan Ramadhan sahaja.
Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meningkatkan keimanan kita di akhir-akhir Ramadahan ini agar kita dapat istiqomah dalam kehidupan sehingga kita kembali bertemu dengan-Nya.
30 Ramadhan 1431 H.Kota Tunjong.9:22 am