Monday, September 24, 2007

Liga Perdana Inggeris: Tevez, Saha benam Chelsea, lonjak MU tangga kedua


MANCHESTER: Jaringan Carlos Tevez sejurus sebelum rehat dan sepakan penalti lewat Louis Saha membolehkan Manchester United melakar kemenangan 2-0 mengatasi musuh ketat, Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam tadi. Tevez memanfaat umpanan lintang Ryan Giggs buat menewaskan penjaga gol Chelsea, Petr Cech, untuk gol pembukaan sebelum Saha menyempurnakan penalti, dua minit sebelum tamat, buat United melonjak ke tangga kedua carta liga, dua mata mengekori Arsenal. Kekalahan itu pula jelas permulaan kurang baik untuk pengendali baru Chelsea, Avram Grant, yang mengambil alih kerusi panas berkenaan selepas pengunduran mengejut Jose Mourinho, Khamis lalu.

Dalam aksi awal, Mark Viduka kembali daripada kecederaan dengan gaya hebat apabila menyumbat dua gol buat membantu Newcastle menewaskan West Ham 3-1 di St James Park. Ketua pasukan skuad itu yang diganggu masalah hamstring kembali untuk menjaringkan gol pertama pada minit kedua di tempat sendiri sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Dean Ashton. Gol kedua Viduka menyusul minit ke-41. Charles N’Zogbia meledakkan gol ketiga Newcastle pada babak kedua untuk meraih mata penuh buat barisan Sam Allardyce tetapi kegembiraan pengurus pasukan itu diselubungi masalah kecederaan Michael Owen yang berterusan.

Owen digantikan sejurus separuh masa kedua bagi perlawanan kedua ketika bintang England sukar untuk pulih daripada masalah bahagian kelenjar. Allardyce menegaskan Owen tidak memerlukan pembedahan untuk memulihkan kecederaannya tetapi dia mungkin memikirkan sebaliknya selepas episod malang ini. "Saya tidak pasti betapa teruk kecederaan itu, sama ada ia sama atau berbeza,"” kata Allardyce kepada Sky Sports. "Perlawanan baru berakhir jadi kita akan ketahui nanti. Ia adalah persembahan lesu pada separuh masa pertama tetapi kami mendapat dua gol. Itulah apa intipati sebenarnya - menyempurnakan peluang. "Ia adalah gol cantik daripada Viduka. Ia adalah keputusan hebat dan kebangkitan selepas kekecewaan menentang Derby." Dalam perlawanan lain, Aston Villa ceria selepas menewaskan Everton 2-0 di Villa Park untuk memperbaiki kedudukan dalam liga dengan himpunan 10 mata selepas enam perlawanan.

No comments: