Friday, March 15, 2013

Maahad Tahfiz Si Buta al-Quran.


Assalamualaikum wrm wbt...

Rupa-rupanya aku bertemu dengan manusia yang hebat ini 2 minggu yang lalu. Aku teringat dahulu, kalau tidak salah, mak aku pernah menceritakan kisah beliau pada aku. Aku dengar dan lupa begitu sahaja tanpa mengambil sedikit pun ibrah daripada kisahnya. Masuk telinga kanan terus keluar telinga kiri tanpa singgah ke otak. Pada tahun 2013 ini, mungkin Allah memberikan peluang kepada aku untuk betul-betul menghayati kisah dan mengambil ibrah dari beliau. Moga dijadikan pencetus kepada seluruh umat Islam terutama aku untuk berusaha mendalami al-Quran kerana tidak pernah ada kata terlambat untuk memulai lembaran baru. Oh, hampir terlupa, beliau juga baru mengeluarkan buku terbaru terbitan Galeri Ilmu yang bertajuk : You Are The Best, Kuntum Khairan Ummah, Kamu Umat Terbaik. Siapakah beliau? Jom baca sisipan kisah mengenai beliau dari Jurnal Kosmo.


Maahad Tahfiz Si Buta Al-Quran.

SEINGAT dirinya, tak pernah sekali pun dia menyentuh kitab al-Quran semasa usia remajanya. Beliau mengaku tidak suka membaca al-Quran dan sering mengelak daripada mendekatinya. Baginya, tidak ada kepentingan untuk membaca al-Quran.
“Saya tidak nampak kepentingan al-Quran. Dalam kamus hidup saya, definisi kejayaan ialah berkelulusan, berjawatan tinggi dan banyak duit.
“Pada masa itu saya menganggap al-Quran tidak lebih hanya sebagai kitab orang Islam,” kata Dr. Mohd. Shafie Md. Amin, 47, kepada Jurnal.
Beliau yang berkelulusan bidang perakaunan dari sebuah universiti di England merupakan seorang penghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berusia 30 tahun.
Kesemua 13 anaknya dilatih menjadi hafiz al-Quran dengan tujuh daripadanya telah menghafal keseluruhan al-Quran.
Tiga anak perempuannya bahkan bergelar johan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan termasuk Siti Nadhira, 17, yang menjadi johan dan peserta wanita terbaik Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada April lalu.
Hidayah
Sungguh mengagumkan apabila Shafie yang pada asalnya boleh disifatkan sebagai buta al-Quran menjadi seorang guru tahfiz dan pengasas kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Itqaan di Ampang, Selangor.
Mengakui dirinya pada asalnya seorang yang tidak begitu mendalami agama, Shafie berkata, sembahyang pun dilakukan hanya sekadar ikut-ikut orang.
“Bukan tak tahu langsung agama. Tapi tak pernah serius. Masa kecil ada belajar mengaji al-Quran, tapi tak pernah bersungguh-sungguh.
“Ustaz mengajar, saya pilih tempat di belakangnya agar dia tak nampak saya main. Lepas tak berjaya dengan ustaz, ibu saya sendiri mengajar. Bila ibu baru mengajar, bila salah, ibu marah, saya menangis.
“Sudahnya, berhenti mengaji dan tak pandai-pandai,” ujarnya.
Kemudian, Shafie membesar dan jiwanya hanya bergelora untuk berjaya bagi mengecap material duniawi. Jika al-Quran disuakan kepadanya untuk dibaca, kalimah ‘kacaulah’ pernah tergetus dalam benaknya.
Siapa sangka, di kota Londonlah, hidayah turun buatnya. Semasa berusia 18 tahun, Shafie melanjutkan pelajaran di kota itu. Kebetulan, dia tinggal bersama rakan serumah yang agak baik.
“Apabila tinggal serumah, kami melakukan banyak aktiviti bersama-sama termasuk mengaji al-Quran. Mereka ajak saya mengaji. Saya berasa tidak selesa.
“Saya tidak mahu mereka tahu saya tidak tahu mengaji al-Quran. Tapi akhirnya saya kena mengaji juga. Saya malu, kawan-kawan lain baca dengan baik, sedangkan saya merangkak-rangkak. Mereka ajar saya sikit demi sikit, lama-kelamaan saya boleh mengaji dengan lancar.

Usia lanjut
“Saya sangat tertarik dengan bacaan seorang kawan yang sangat sedap suaranya. Saya rasa menyesal kerana tak pandai mengaji al-Quran sebelum ini. Saya berusaha memperbaiki bacaan antaranya dengan bantuan kaset bacaan al-Quran.
“Saya cuba hafal sedikit ayat-ayat al-Quran yang mudah, lama-lama saya boleh hafal,” ujarnya yang turut berjaya menyelesaikan pengajiannya dalam bidang perakaunan di London.
Bermula daripada usia yang agak lanjut untuk mempelajari al-Quran iaitu pada usia 18 tahun, akhirnya pada umur 30 tahun, kandungan 30 juzuk al-Quran sudah memenuhi kantung memorinya.
Ketika usia itu juga, beliau bersama beberapa kawan bertindak menubuhkan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Itqaan untuk mendidik kanak-kanak termasuk anak-anak mereka menjadi al-hafiz.
Ia bermula dengan 12 murid. Maahad tahfiz itu turut mengajar bidang akademik seperti di sekolah biasa.
“Ramai orang yang mentertawakan saya. Mereka kata, boleh percayakah seorang lulusan perakaunan mengajar al-Quran?


Penampilan
“Ramai juga yang tidak percaya saya sudah menghafal al-Quran 30 juzuk. Ya, saya telah bertalaqqi (membaca hafazan berhadapan) dengan ustaz-ustaz dari Indonesia dan Mali, tetapi bagaimana masyarakat boleh mempercayai saya?
“Saya akhirnya menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri Selangor. Tujuan utama saya adalah untuk menguji sejauh mana kemampuan saya.
“Tahun pertama saya sertai, saya tidak meraih apa-apa tempat, saya berusaha memperbaiki bacaan lagi. Dua tahun kemudian, saya sertainya sekali lagi dan bergelar naib johan negeri Selangor sebelum menjadi johan pada tahun berikutnya,” ujarnya.
Dia kemudian turut ditawarkan untuk menjadi guru tahfiz di Masjid Negara. Shafie satu-satunya guru tahfiz di situ yang mempunyai kelulusan dari England berbanding guru-guru tahfiz yang lain dari Mesir.
Ketika ditemui, penampilannya juga berbeza daripada kebanyakan ustaz dan guru tahfiz apabila beliau selesa memakai kemeja, tidak memakai kopiah atau songkok.
Katanya, itu dirinya dan dia mahu memberi mesej kepada masyarakat bahawa agama bukan hanya milik ustaz-ustaz.
Masyarakat semakin mempercayai kebolehannya mengajar al-Quran apabila berita salah seorang anaknya, Rabiah, mencipta rekod sebagai johan hafazan peringkat kebangsaan termuda tersiar di dada akhbar pada tahun 1999. Rabiah ketika itu baru berusia 12 tahun.
Shafie meyakini sistem pengajarannya sehinggakan kesemua anaknya disekolahkan di maahad tahfiznya.
Murid-murid di situ tidak ketinggalan pembelajaran akademik dan turut mengikuti peperiksaan seperti Siji Pelajaran Malaysia. Mereka juga berjaya ke menara gading seperti Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Madinah.
“Macam mana orang nak percaya kepada pengajaran kita kalau anak-anak kita sendiri tidak bersekolah dengan kita?” soalnya menunjukkan keyakinannya kepada sistem pengajarannya.
Kini, Shafie yang juga merupakan Pengerusi Maahad Tahfiz al-Itqaan memberitahu, maahad itu kini bertaraf kolej kerana menawarkan pengajian diploma dan bercita-cita untuk menjadi universiti al-Quran.
Ditanya reaksinya mengenai Paderi Terry Jones dari Dove Outreach Center di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat yang mencetuskan berang antarabangsa kerana berhasrat membakar al-Quran baru-baru ini, jawapannya cukup bernas dan bukan terbit daripada api kemarahan semata-mata seperti kebanyakan kita.
“Kalau dulu, sewaktu saya jahil, saya akan marah kerana ia merupakan kitab saya, orang Islam. Tapi marah yang kosong kerana saya sendiri tidak tahu mengapa saya perlu marah sangat.
“Kini, saya juga marah. Tetapi, sebagai umat Islam, kita juga perlu melihat apa yang berlaku dari sisi positif. Kenapa ia berlaku?
“Mungkinkah peristiwa itu Allah jadikan kerana mahu menyedarkan kita bahawa kita sudah terlalu jauh daripada al-Quran?
“Kita lemah kerana kita tinggalkan al-Quran dan orang kafir sudah berani melakukan penghinaan kepada al-Quran kerana mereka lihat kita sendiri tidak mengambil manfaat daripadanya,” ujarnya.