Friday, February 20, 2009

Bermulanya Era Penjajahan Hoki Malaysia.

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Hari Jumaat. 20 Februari 2009 Masihi. Malaysia Hockey League akan bermula.
MATRI telah mencapai kata sepakat untuk menyertai kejohanan ini lagi. Masuk kali ini sudah 4 musim MATRI bermain dalam kejohanan ini. Liga ini. Petang ini,jam 5 petang bermulalah gendang perang. Halangan pertama. MATRI vs MSS P.Pinang. Semoga semua yang menyedari akan perlawanan ini berdoa ke hadrat ilahi dengan harapan pasukan hoki MATRI akan membuat yang terbaik dan menjadikan perlawanan yang pertama ini sebagai pembukaan yang baik. 'Doa adalah senjata orang mukmin'. Ingat!

Kejayaan MATRI,kejayaan Islam jua.InsyaAllah.

Friday, February 6, 2009

Kisah Seorang Pencari Kerja.

Dulu-dulu tapi bukanlah dulu-dulu sangat tetapi baru-baru ini,aku berada di Pulau Mutiara selama 9 hari.Ku meniti perjalanan menuju ke Hospital Pulau Pinang. Menaiki bas kemudian feri kemudian bas kemudian berjalan kaki. Tujuan hanya satu dan bukannya niat untuk pergi melancong mahupun bersiar-siar menikmati keindahan dunia di pulau ini. Aku dan sahabat-sahabatku, Dek Wan dan Zulkarnaian berada di hospital tersebut selama 6 hari dan 3 hari yang berikutnya di rumah Fathi di Guar Perahu. Sahabatku ini hanya cedera ringan sahaja. Malang yang menimpa ayahnya, Cikgu Azmi apabila peha kanannya patah dan kepalanya mengalamai pendarahan otak yang begitu kritikal. Pembedahan terpaksa dijalankan sebanyak 2 kali di tempat yang berbeza dan di hari yang berlainan juga.Kesedihan jelas terpampang pada muka ahli keluarga sahabatku itu. Aku juga sebenarnya dapat merasai.

Kini,kesihatan ayahnya sudah semakin stabil dan menampakkan pergerakan pada tangan dan kaki kiri ayahnya. Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan dan peluang kepadanya untuk bernafas di bumi ciptaan-Nya ini. Telah banyak pengalaman dan pengajaran yang telah ku dapat selama aku berada di sana. Kendatipun, di sini aku mahu menceritakan sedikit mengenai seorang pencari kerja yang sudah lama berada di hospital tersebut.

"Pengemis jalanan,peganggu dan pengacau hidup orang lain". Mungkin itu kata-kata yang terdetik dalam hati orang awam yang terserempak dengan manusia ini yang tangan kirinya sudah hilang hingga ke siku. Bidi(sejenis rokok murah buatan India) sentiasa tersemat di mulutnya. Menambahkan lagi persepsi negatif orang lain terhadap dirinya. Senyumannya menampakkan giginya yang sudah sedikit kehitaman. Rambutnya kusut-masai. Dia hanya memakai seluar tiga suku. Mneghisap bidi. Duduk di atas kerusi di bawah pondok berhadapan dengan tempat bermain kanak-kanak. Sahabatku telah siap membeli nasi bungkus untuk kami mengisi perut yang telah berbunyi seusai solat Subuh.

Kami mencari dan menjejak tempat yang boleh untuk kami makan bersama-sama. Dalam penjejakan dan pencarian, kami ternampak seorang lelaki yang berbangsa India yang umurya dalam pertengahan. Duduk di pondok sambil menghisap bidi. Nampak seperti nyaman sahaja asapnya. Kami terpanggil untuk pergi ke pondok itu kerana tempat yang lin telah dipenuhi manusia lain. Aku cuba untuk menghalau lelaki tersebut ke tempat yang lain dengan cara yang lembut. Tetapi dia tetap tidak berganjak dan mendiamkan diri. Memandangkan kehadiran kami tidak diendahkan, kami terpaksa juga duduk di pondok itu kendatipun dengan keadaan berhimpit-himpit.

Terdetik dalam nurani aku,"Lelaki ini mesti tak makan lagi". Lalu aku pun menolak dua bungkus nasi lemak ke arah lelaki India ini. Dari saat dan detik itulah aku dan sahbat-sahabatku yang lain memulakan perbicaraan. Kami sahaja memulakan dengan menanyakan tentang agama Hindu. Tuhannya berapa? Sembahyangya bila? Bila mati seorang penganut Hindu, urusan mayatnya macam mana? Semua pertanyaan ini mudah bagi lelaki ini menjawabnya. Sebenarnya. lelaki yang dianggap pengemis ini pandai bermadah. Petah bercakap. Umpama pemotivasi yang profesional. Dia menjawab satu per satu. Sehingga sampai satu tahap, kami menekankan bahawa Tuhan semua makhluk di muka bumi ini hanyalah satu dan tiada Tuhan selain-Nya. Lelaki ini juga mengakui kebenaran tersebut. Dia mengakui Tuhan itu satu. Tuhan itu Maha Esa.

Maka bermulalah alkisah ini dengan penceritaan yang sangat menarik. Dulu, dia pernah mengikuti program di bawah anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM). Dia tahu membaca surah Al-Fatihah. Dia tahu untuk mengucap syahadah. Sebenarnya dia seorang mualaf(saudara baru)! Dia memilih Abdul Rasyid sebagai nama Islamnya(muka pun dekat serupa dengan Rasyid sahabatku). Sangat pandai dia memilih nama itu.

'Kita merancang, Allah yang menentukan'. Begitulah yang terjadi kepada Abdul Rasyid. Dia tidak sempat untuk menghabiskan program yang dianjurkan PERKIM selama 3 bulan di Kelantan.

"Aku pernah ikut itu program PERKIM kat Kelantan. Tapi hanya sampai 2 bulan saja. Sebab aaa...bila sampai saja itu Hindu punya raya , aku balik rumah keluarga aku kat Kulim. Aku pakai baju itu putih(jubah) dengan kopiah. Sampai saja di rumah, itu bapa aku tanya sama aku.Ini apa sudah jadi? Aku cakap,"saya sudah masuk Islam",cerita lelaki India ini dengan penuh semangat. Bapanya begitu marah dengannya. Jiwanya runtuh luluh apabila bapanya mengungkap kembali kehidupan lelaki yang dalam lingkungan 30-an ini.

"Bapa sudah jaga kamu dari kecil, bagi makan sama kamu tapi kamu sudah jadi macam ini". Ungkapan yang tersembur daripada mulut bapanya itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Walaupun begitu, dia nekad melarikan diri jauh daripada keluarganya. Fikirannya menjadi berkecamuk selepas kejadian itu." Banyak sungguh masalah, aku punya kepala sudah pening",bicaranya. Dalam kerancakan dia berkata-kata,Zulkarnain bertanya mengenai puasa dalam agama Hindu." Orang India puasa aaa,pagi-pagi boleh minum itu susu saja. Tengah hari kena makan makanan vegetarian. Lepas itu tunggu sampai malam. Aku menyampuk," Nama pun itu puasa boleh makan ka?". Dia menggerakkan bahunya tanda tidak tau dan ketawa menampakkan giginya yang kuning itu. Setelah itu kami diam sebentar. Bunyi hiruk-pikuk di luar hospital kedengaran dengan pikuknya." Kalau Hindu ar.., itu punya daging lembu aa tak boleh makan", kata-katanya memecahkan 'kediaman' kami sejak tadi. Kami mengganguk kepala walaupun kami sudah maklum hal itu." Sebab apa tidak boleh makan?" Aku bertanya." Sebab aa.., lembu itu suci. Kita minum itu susu lembu sejak kita kecil lagi. Orang Hindu anggap lembu ini ar macam tuhan.Macam itu ibu kita juga. Aku dan sahabat-sahabatku yang lain ketawa berdekah-dekah. Tidak mampu untuk menahan lagi.

'Sudah jatuh ditimpa tangga'. Hanya perumpamaan ini sahaja yang boleh dikatakan kepada Abdul Rasyid. Setelah bergaduh dengan keluarganya, isterinya pula lari meninggalkan dia. Hal ini yang demikian kerana dia sudah kehilangan tangan kirinya yang sudah ditimpa tangki air setahun lebih yang lalu. Isterinya berasa malu dan enggan bersamanya lagi. Dia memberitahu bahawa dia sudah mempunyai seorang anak. Anaknya kini berada di Sungai Petani mengikuti persekolahan di sana. Dia mahu memperbaharui sijil kelahiran anak tunggalnya itu. Sijil itu sudah lama hilang. Dia juga mahu memperbaharui sijil keIslamannya. Tetapi dia belum lagi mendapat kerja. Tiada siapa yang membantunya. Bagaimana dia mahu melakukan semua itu?