Wednesday, April 27, 2011

Manusia Kecil.



Wahai saudaraku,
Cuba engkau perhatikan dunia,

Perhatikan isi-isinya,
Manusia yang durjana,
Membuang manusia kecil di lubuk sengsara,
Mana hilang makna pelukan?
Mana hilang sifat belaian?

Oh!
Sang kucing mengerti itu anaknya,
Oh!
Sang monyet mengerti itu anak-anaknya,
Argh!
Sang manusia masih buta.
Si kecil dianggap seperti sampah,
Di buang merata-rata,
Mana perginya nilai-nilai kesopanan
yang diajar daripada tadika!


-UngkapKembali-
2:10 petang
8 Mei 2010
Sabtu

Sunday, April 24, 2011

Dum!

Guruh yang berdentum.
Jantung berdegup kencang.
Kilat sambar menyambar.
Membuatkan jiwa ini terancam.

Disebalik tembok/

Satu dentuman yang kuat kedengaran.
Bukan lagi guruh.
Tetapi bom-bom bertaburan.

Sepi sebentar/

Lalu kedengaran tangisan
dicelahan runtuhan.
Tangisan tanpa air mata.

~ForPalestine~

Saturday, February 5, 2011

Pencipta.


Siang pergi meninggalkan kita. Munculnya malam menjemput kita.
Perjalanan siang dan malam tidak pernah berhenti.
Mengikut saja aturan yang telah ditetapkan. Patuh dan taat. Pernahkah kita merasai siang selama 24 jam? Atau malam selama 24 jam panjangnya? Tidak pernah bukan. Itulah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat siang dan malam. Maha Suci Allah. Bayangkanlah jika kita hidup setiap tahun yang bilangan harinya sebanyak 365 hari dalam waktu siang sahaja. Bagaimana ya? Hendak tidur pun mungkin tidak selesa. Dengan cuacanya yang agak panas. Anginnya yang tidak begitu dingin. Pasti kita tidak akan pernah merasai nikmat berbuka puasa kerana malam tidak muncul-muncul. Sudah menjadi lumrah setiap sesuatu itu pasti ada pasangannya. Begitu indah penciptaan ini. Cuba kita renungkan, betapa canggihnya teknologi yang diciptakan oleh manusia. Setiap hari pasti ada sahaja penciptaan baru. Kita kagum dengan manusia yang menciptakannya. Tetapi pernahkah kita kagum terhadap Pencipta yang menciptakan manusia? Lalu manusia pun menciptakan sesuatu benda yang begitu canggih. Pastinya Pencipta manusia itu lebih hebat dan berkuasa. Jika kita lihat realiti pada hari ini, manusia itu tetap lagi dalam keadaan berpura-puraan. Mereka percaya bahawa wujudnya Sang Pencipta yang Maha Kuasa. Pencipta yang mengatur segala-galanya. Tetapi mereka butakan mata dan pekakan telinga mereka sendiri. Mereka tidak mahu keasyikan dan kenikmatan dunia ini diganggui dengan mengingati Allah Swt. Mereka tidak mahu kehebatan dan keseronokan dunia ini dinodai dengan sentiasa memikirkan hal ukhrawi.

Kota Tunjong
2 Rabiulawal 1432 H.
05/02/2011.
11:31 am

Friday, January 21, 2011

Derita.

Derita itu bukan pada fizikal. Mungkin fizikalnya itu nampak pedih derita. Simpati. Tetapi jika kita boleh melihat derita hati ini, mungkin kita akan menangis teriak sampai bertahun-tahun. Hati apabila dinodai, kesannya amat mendalam. Memerlukan kekuatan dan konsistensi untuk membersihkannya agar menjadi suci kembali.

Qalbu itu sebenarnya sering berbolak-balik. Kadang-kadang diri ini dikalahkan oleh nafsu yang setia mengajak kita ke arah kejahatan. Kekuatan yang telah lama berdiri pada hati, sesaat dimusnahkan oleh nafsu dan syaitan. Baju putih yang baru dibeli memang menarik dan cantik. Memerlukan penjagaan yang sangat rapi. Andaikata tercalit setitik dakwat hitam maka kecantikan itu sudah pudar dek titikan itu. Hanya setitik! Usaha untuk membersihkannya pula sangatlah susah dan memeritkan. Diletakkan di dalam mesin basuh, masih tidak berganjak titik hitam itu. Biar sebotol penuh sabun kita tuangkan ke dalamnya. Titik itu masih berada di situ.

Langkah yang seterusnya, kita cuba memberusnya dengan menggunakan tangan atau kudrat kita ini. Dengan tekad dan usaha yang kuat, tonyohan kita agak berkesan dan tompokan dakwat itu semakin hilang. Tetapi kesannya masih berbekas samar-samar. Itupun, jika dilihat dengan penuh penelitian. Akhirnya, kita mengambil ‘klorox’ untuk menghilangkan kesanitu dengan betul-betul sempurna. Baju putih itu kembali menjadi cantik dan bersih seperti tiada titikan hitam yang tercalit sebelum ini.

Begitu juga hati. Agak sukar untuk kita memeliharanya. Andai tersalah ‘makanan’ maka akibatnya terlalu lama. Sakitnya amat pedih. Mungkin kita boleh mengubatinya tetap ia mengambil masa yang begitu lama. Memerlukan pemiliknya betul-betul konsisten ataupun istiqomah dari saat ke saat untuk mendidik hati kembali ke fitrah asalnya.


Kota Kangar
16 Safar 1432 H.
21/01/2011.
12:16 pm.

Tuesday, January 18, 2011

Saat Ini.

Saat keterbalikan fitrah berlaku pada diri.

Saat keburukan nampak baik pada mata ini.

Saat tiada lagi perasaan terhadap kebaikan.

Saat hati penuh dengan titik hitam.

Saat ini aku ingin sekali kembali kepada-Nya.

Saturday, December 18, 2010

Untuk Renungan Bersama.

Sabda Nabi Muhammad Saw yang bermaksud:

"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik daripada semalam , dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah oran yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk daripada hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah Swt.

Sunday, November 7, 2010

'Aku'


"Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah yang terbaik di antara kamu. Apabila kamu lihat perbuatanku benar, maka ikutlah aku. Tapi apabila kamu lihat perbuatanku salah, maka betulkanlah."
~Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq Ra~

Friday, November 5, 2010

Sesungguhnya.

Mari kita mendengar dan menghayati sebuah lagu yang sangat mendalam maknanya daripada Raihan.Hayatilah dengan penuh ketenangan.




Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu ...


Monday, November 1, 2010

Hujan yang Terakhir.





Hujan

Petang tadi hujan turun dengan renyai-renyai. Burung-burung yang berterbangan meninggalkan permainan di atas angin. Awan yang telah penuh dengan air tidak dapat lagi menahan rasa. Muntahan mutiara-mutiara segar lalu deras turun ke muka bumi. Penuh dengan rasa keindahan. Aku masih lagi terlena dek keletihan. entah keletihan apa yang aku tanggungkan. Hendak kata lakukan kerja berat tidak sama sekali. Mungkin terlelap kerana cuaca yang sejuk dan mendung. Umpama malam. Matahari tidak nampak mukanya. Air yang turun menghentam bumi mengeluarkan bunyi. Aku masih pekak dan bisu membiarkan hujan itu turun.


Cuti

Perkataan inilah yang membuatkan pelajar-pelajar merasai keseronokan. Tidak perlu lagi ke sekolah mahupun kolej ataupun universiti buat semntara waktu. Perkataan inilah yang membuatkan aku merasai ketakutan. Ketakutan untuk pulang bercuti. Bukan bermakna aku tidak setuju dengan cuti,aku juga seperti pelajar-pelajar yang lain. Tetapi perkataan 'cuti' inilah yang merasukkan jiwa ini agar menjadi hina. Jiwa yang kotor memberontak mahukan kemaksiatan. Mahukan kenikmatan. Cuti sebenarnya tidak dapat mendidik hatiku ini agar terus istiqomah. Aku akan lalai dalam mengharungi hari-hari yang tiada pengisian. Batu yang diam akan dipenuhi dengan lumut. Sehebat mana pun kita jikalau hawa nafsu dan syaitan menguasai diri. Tiada yang dapat membentenginya melainkan iman yang kukuh. Sesungguhnya cutilah yang melumpuhkan jati diri remaja. Kebanyakkan remaja mengisi masa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Kiranya, aku akan bertambah setuju jikalau cuti ini penuh dengan pengisian yang santai. Cuti masih lagi menghantui pemikiran aku.


Matahari

Hujan kian reda. Awan berarak meninggalkan tempat yang telah ia sirami. Pergi setelah melakukan tugasannya. 'Dia' tidak pernah melanggar perintah dan suruhan. Patuh dan taat. Wajah matahari yang penuh dengan cahaya itu kembali menjelma. Menerangi setiap ruang lingkup kehidupan ini. Manusia keluar melakukan tugas masing-masing seperti biasa. Sudah tidak ada alasan lagi. Burung berterbangan riang bermain setelah lama berdiam di sarang. Perut yang kosong itu memberontak kelaparan. Anak-anak menangis kerana sudah lama mereka berpuasa. Kehadiran si cahaya itu memberi khabar gembira kepada makhluk-makhlukNya. Kehadirannya itu memberi erti bahawa itulah hujan yang terakhir menyirami kehidupan. Dan pada suatu saat nanti, manusia akan menanti hujan tiba dan mahukan matahari pergi pula.


Kota Tunjong
24 Zulkaedah 1431 H.
01/11/2010.
09:18 pm.

Saturday, October 30, 2010

Sekedip kedipan.

Aku merintis dalam setiap bicara.

Bicara yang sunyi dalam sanubari.

Mimpi-mimpi indah sudah terbang ke angkasa.

Kerana diri sudah lama bertapa.

Aku melihat ke arah kanak-kanak kecil itu.

Setiap langkahnya membuatkan aku tersenyum.

Aku melihat ke arah orang tua itu.

Setiap langkah kudratnya membuatkan aku terpesona.

Ingin sekali lagi aku bicara sama hati.

Dua tiga kali engkau kedipkan mata.

Engkau sudah berusia remaja.

Lima enam kedipan mata.

Engkau sudah berusia dewasa.

Tatkala mata ini sudah kurang kedipannya.

Engkau sudah berusia tua.

Lama yang engkau rasai itu hanyalah sekedip mata.

Maka,tatkala mata tiada lagi berkedip,itu tandanya engkau sudah 'berusia' selama-lamanya.


Kota Tunjong
4 Syawal 1431 H.
13/09/2010.
12:35 am.

Sunday, September 19, 2010

Perginya Seorang Pejuang.

Semalam bersamaan dengan 9 Syawal 1431 H iaitu 18 September 2010. Perginya seorang perjuang,pendakwah dan juga murabbi yang telah meletakkan segala-galanya untuk Islam dalam dirinya. Almarhum Ustaz Dahlan M.Zain telah pulang ke rahmatullah pada pukul 9.55 pagi di rumahnya di Mata Ayer,Perlis. Sesungguhnya pemergian almarhum ini merupakan sebuah kehilangan besar kepada sesiapa yang pernah mengenali almarhum khususnya. Perginya seorang Murabbi yang sejati. Moga permata-permata tarbiyyah yang telah almarhum curahkan dapat kita kukuhkan dalam diri kita. Agar kita menjadi sebahagian dari batu-bata pada dinding tarbiyyah. Mari kita berdoa agar Allah Swt menerima amal solehnya dan menempatkan almarhum dalam kalangan para Solihin. Amin.

Mari kita renungkan sejenak cebisan sajak As-Syahid Syed Qutb:



Saudara,
Andainya kematian engkau tangisi,
Pusara engkau siram dengan air matamu,
Maka di atas tulang belulang yang sudah luluh,
Nyalakanlah obor untuk ummat ini,
Dan...
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan.


Saudara,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan,
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu,
Taman-taman indah di syurga Allah,
Terhampar menanti,
Burung-burungnya berpesta menyambutku,
Dan berbahagilah hidupku di sana


Saudara,
Puaka kegelapan pasti akan lebur,
Fajar akan menyingsing,
Dan alam ini akan disinari cahaya lagi,
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya,
Jangan gentar berkelana ke alam abadi,
Di sana... cahaya fajar memancar..



10 Syawal 1431 H.
Kota Tunjong.
11:02 am



Thursday, September 9, 2010

Permulaan.




Pengakhiran.
Kehidupan di bulan Ramadhan telah berakhir. Berakhir dengan penuh keberkatan dan kebaikan. Membuatkan jiwa-jiwa yang melaluinya merasai kehalusannya. Merasai kekuatan yang telah muncul dalam diri.

Permulaan.
Kini kehidupan di bulan Syawal bermula. Bermula penuh dengan keseronokan. Disebalik keseronokan itu penuh dengan bara bahaya yang belum kita nampak dengan mata kasar. Kekuatan yang telah diraih mungkin akan terus dikukuhkan atau mungkin sama sekali akan luntur. Luntur dengan alasan-alasan duniawi. Kembalinya umat Islam kepada fitrah sebenarnya akan makna kehidupan ini.

Ramadhan 1432H.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah Swt menyampaikan kita kepada Ramadhan edisi yang akan datang. Kerana jika manusia mengetahui akan kebaikan Ramadhan nescaya mereka akan meminta agar Ramadhan berlaku sepanjang tahun. Berdoalah kita agar dipangjangkan umur untuk kita merasai kemanisan Ramdhan tahun hadapan.


'Aidil Fitr.
Maka,dengan munculnya hari kegembiraan umat Islam ini, dapat kita sama-sama melontarkan rasa keinsafan dalam diri kita. Oleh itu,dengan kesempatan yang Allah Swt berikan ini, saya ingin mengucapkan,

Salam 'Aidilfitri buat semua yang mengenali terutamanya pengunjung blog ini.

Maaf zahir dan Batin.


1 Syawal 1431 H.
Kota Tunjong.
11:15 pm

Pengakhiran.


Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Swt kerana dengan limpahan kurniaan hidayah-Nya kita masih berada dalam akhir-akhir bulan Ramadhan ini. Semakin hari semakin hampir Ramadhan meninggalkan kita. Semakin Syawal datang menjelma.

Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab ketika berada diambang Ramadhan , berulang-ulang kali beliau mengucapkan, 'Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, ahlan wa sahlan ya Ramadhan...'

Sehinggakan khadam beliau mengatakan sekiranya manusia tidak mengetahui Ramadhan itu merupakan satu bulan,nescaya mereka akan menyangka Saidina Umar Ra sedang menuggu seorang lelaki yang bernama Ramadhan.

Bayangkan, di akhir-akhir Ramadhan ini pun mereka akan gelisah bahkan bersedih kerana Ramadhan akan berlalu pergi.

Adakah kita mengetahui hakikat berpuasa? Puasa bertujuan untuk mendapatkan taqwa. Taqwa merupakan sebuah bentuk ketaatan dan rasa takut kepada Allah Swt.

Suatu hari Saidina Umar Ra melepaskan tentera di medan perang dengan berpesan ,"Aku lebih takut akan dosa-dosamu daripada musuh-musuhmu kerana jika kamu berdosa Allah akan biarkan kamu kepada musuh-musuhmu."

Dalam peperangan lain, setelah selama 3 bulan peperangan tentera Islam tidak juga menang dan
kalah. Apabila Saidina Umar Ra mengetahui akan hal itu, beliau terus pergi menyiasat akan sebabnya. Beliau mendapati tentera Islam tidak lagi halus dalam taqwanya. Mereka lalai dalam bersugi dan tidak meluruskan saf-saf apabila melakukan solat.
Selepas semua itu diperbaiki, Islam mencapai kemenangan.

Jelaslah orang yang bertaqwa Allah Swt akan membantu dan memberi kemenangan di dunia dan akhirat.

Kita seharusnya merancang kehidupan yang hakiki iaitu kehidupan di akhirat. Dunia ibarat persinggahan sementara . Kematian sering menghampiri kita tidak kira pangkat ,jawatan atau pun apa sahaja. Tidak kira di mana sahaja . Kita harus mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan . Sentiasa bermuhasabah kerana peluang kehidupan di dunia hanyalah sekali sahaja tiada lagi peluang yang keduanya. Penyesalan di sana tiada gunannya lagi. Marilah kita sama-sama menginsafi diri. Muslimin yang bijak adalah sentiasa bermuhasabah diri. Orang yang paling bijaksana adalah orang yang bermuhasabah dan menyediakan bekalan.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” (Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.)

Janganlah cahaya pagi satu Syawal nanti menjadikan surau-surau kosong kembali, al-Quran tidak lagi di baca dan tahmid dan takbir tidak lagi kedengaran. Kita tidak mahu menjadi seorang muslim di bulan Ramadhan sahaja.

Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meningkatkan keimanan kita di akhir-akhir Ramadahan ini agar kita dapat istiqomah dalam kehidupan sehingga kita kembali bertemu dengan-Nya.

30 Ramadhan 1431 H.
Kota Tunjong.
9:22 am